Tuesday, March 5, 2024

Farid Kamil terlepas merengkuk 9 bulan dalam penjara, bayar denda RM5,000

ZAMAN dahulu kalau kalangan pelakon atau digelar orang permainan dijadikan menantu, pandangan serong diberi oleh mak mertua  dan bapa mertua.

Pandangan yang skeptikal itu disebabkan masyarakat pada ketika itu tidak dapat menerima pelakon sebagai menantu dalam keluarga.

Sebabnya banyak dan salah satu daripada sebab ialah gejala najis dadah.

Mentaliti seperti itu berubah mengikut peredaran zaman sehinggakan ada kalangan masyarakat yang dapat menerima kalangan artis sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka.

Akan tetapi, kalangan yang bergelar artis perlu menjaga nama baik mereka untuk mengelakkan kesan daripada sikap buruk yang terpalit kepada golongan artis yang lain.

Apa tah lagi kalau artis terlibat dalam najis dadah dan hari ini, pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari terlepas daripada hukuman penjara dan hanya diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya membayar denda RM5,000 kerana kesalahan menggunakan ganja.

Farid Kamil yang sudah berusia 41 tahun sepatutnya sedar diri dan tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dan peminat untuk menjauhi daripada najis dadah.

Hari ini kalau Farid Kamil tak insaf juga dan terlepas daripada merengkuk dalam penjara selama sembilan bulan, dia sepatutnya muhasabah diri.

Artis idola peminat dan adakah peribadi Farid Kamil ini boleh dijadikan contoh yang baik kepada masyarakat? – REFLEKS