Tuesday, March 5, 2024

MAPIM gerakkan Misi Bantuan Gempa ke Istanbul malam tadi

DELEGASI Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada Selasa telah berlepas ke Istanbul dalam Misi Bantuan Gempa Turkiye-Syria susulan gempa bumi terkuat dalam beberapa dekad dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye, Kahramanmaras pada 4:17 awal pagi (waktu tempatan) pada Isnin.

Turut hadir pegawai kedutaan Turkiye, Encik Cem Bas bagi memberi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sumbangan, doa serta keprihatinan terhadap bencana gempa yang berlaku di Turkiye.

Menurut Ketua Misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye-Syria MAPIM Malaysia, Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery, kumpulan pertama delegasi seramai 11 orang sukarelawan MAPIM dan media ini akan terus ke wilayah Gaziantep termasuk ke bahagian utara Syria bagi menyampaikan bantuan asas musim sejuk dan bencana bersama rakan strategik di sana, Agensi Wakaf Kerajaan Turkiye ‘Turkiye Diyanet Vakfi’ (TDV).

“Sasaran kami adalah untuk membawa bersama bantuan kilat berjumlah RM 4 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia sebagai tanda solidariti dan ambil peduli majoriti muslim yang terkesan dan terdesak di sana selepas dilanda musibah yang amat dahsyat ini,” jelas Ahmad Sani dalam sidang media sebelum berlepas dari Lapangan Terbang KLIA petang tadi.

“Walaupun jumlah yang kami bawa ini agak kerdil tetapi hati-hati dan suara penderma-penderma itu kami bawa bersama-sama bagi membantu saudara kita di sana,” tegas Dr Sani.

MAPIM sebelum itu telah melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye Syria pada Isnin dari Wisma MAPIM Malaysia.

Menurut Timbalan Negeri Luar Negeri, Datuk Mohamad Bin Alamin, MAPIM Malaysia adalah NGO yang terawal tampil untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada bencana yang berlaku di Turkiye dan Syria.

“Seramai 13 orang rakyat Malaysia yang berada disana dilaporkan selamat dan tiada kecederaan yang berlaku cuma perhubungan untuk memasuki kawasan itu agak susah bagi membawa mereka pulang ke tanah air, kami masih menunggu maklumat selanjutkan,” tambahnya lagi.

MAPIM Malaysia mempunyai pengalaman lebih 9 tahun menguruskan misi bantuan musim sejuk ‘Rescue Syria’ dengan menyalurkan sumbangan keperluan asas seperti makanan, selimut tebal, diesel untuk pelarian Syria, khemah, 30 kontena barang bantuan, 39 sekolah wakaf dan yang terkini adalah pembinaan Bandar Wakaf MAPIM Malaysia yang sedang dalam pembinaan di atas tanah seluas 57 ekar di A’zaz, Syria hasil kerjasama bersama TDV.

Bagi anda yang ingin turut serta dalam Misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye – Syria, boleh terus menyalurkan sumbangan menerusi Tabung Kemanusiaan MAPIM (Akaun Maybank 562263540066).