Tuesday, March 5, 2024

MRT Laluan Putrajaya dijangka mampu tarik 200,000 penumpang sehari dalam masa dua tahun

PROJEK Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya yang bakal beroperasi sepenuhnya mulai Mac depan dijangka mampu melonjakkan jumlah penumpang harian hingga ke 200,000 sehari dalam masa dua tahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Fasa Dua projek berkenaan yang kini sudah siap 99.9 peratus mampu menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam menggunakan perkhidmatan itu.

“Bagi Fasa Satu yang memulakan operasinya pada Jun 2022, terdapat 12 stesen yang beroperasi.

“Apabila Fasa Dua dilancarkan nanti, kita akan menambah 24 stesen lagi menjadikan keseluruhan stesen projek ini kepada 36,” kata Anthony, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Depoh MRT Sungai Buloh, semalam.

Untuk rekod, laluan Fasa Satu melibatkan laluan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu, manakala Fasa Dua pula melibatkan laluan dari Kampung Batu hingga ke Putrajaya Sentral.

Projek MRT Laluan Putrajaya itu menelan belanja RM30.53 bilion untuk kos pembinaan dan kos sistem meliputi 36 stesen membabitkan 49 set kereta api.

Terdahulu, Anthony mengadakan lawatan kerja ke MRT Laluan Putrajaya bermula dari stesen Putrajaya Sentral ke stesen Titiwangsa, sebelum menuju ke stesen Kwasa Damansara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri, dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd, Zarif Hashim.