Monday, March 4, 2024

Kekal relevan sebagai artis tak perlu content tak senonoh

DUNIA seni dan hiburan tidak seharusnya dipalitkan dengan perbuatan yang tidak senonoh dan mengundang dipandang rendah oleh masyarakat.

Bukan semua anak seni yang masuk ke dunia hiburan tiada pertimbangan moral tetapi disebabkan oleh nila setitik, rosak susu sebelanga.

Sudah berapa kali dan berapa ramai mereka yang masuk dalam bidang seni dan hiburan, bikin onar dan busuk nama?

Atas nama nak kejar peminat, nak pastikan media sosial mempunyai pengikut sejuta orang, nak kekal relevan, janganlah sampai sanggup buat perkara yang tidak sewajarnya.

Guna otak, guna akal untuk berfikir dan tidak perlu rugi duit bayar denda mahkamah gara-gara memuat naik kandungan medsos yang tak senonoh.

Tidak tercapai dek akal apabila memikirkan perbuatan Zul Ariffin, aktor pujaan ramai wanita di Malaysia.

Lakonan Zul Ariffin memang bagus dan dia adalah antara barisan pelakon lelaki yang boleh dibanggakan.

Namun apabila dirinya sendiri yang bikin onar, nama Zul Ariffin tercemar. Dia diseret ke mahkamah atas dakwaan memuat naik kandungan sumbang di medsos pada Mac lalu.

Apahallah Zul Ariffin buat kerja macam ni? Tak perlu bimbang kalau nak terus popular atau kekal relevan dalam industri kerana ramai yang tahu kemampuan lakonan yang dipaparkan oleh aktor ini.

Dunia sekarang banyak bermain dengan gajet, telefon pintar, media sosial. Apabila ada telefon pintar, kita manusia jangan jadi bodoh.

Gunakan segala teknologi atau IT yang canggih untuk menyampaikan maklumat yang positif atau informasi yang membina, bukannya yang MEMBINASA.

Melakar nama sebagai artis bukan mudah di atas kanvas seni. Penat bekerja untuk membuktikan bahawa kehadiran sebagai pelakon atau penyanyi di atas kanvas seni tanah air, berbaloi.

Kini nama Zul Ariffin tercemar dan apa yang terjadi ke atas dirinya adalah kesalahannya sendiri dan apabila wartawan menulis, dia tidak boleh marah atau melenting.

Itulah sebabnya peribahasa Melayu berbunyi, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Sudah ada satu stigma apabila melihat muka Zul Ariffin hari ini dan semestinya stigma itu berbentuk negatif.

Macam mana nak cari makan, Bang kalau pandang muka, teringat keputusan mahkamah.

Penerbit dari produksi akan takut nak tawarkan job berlakon. Jangan salahkan mana-mana pihak jika tawaran berlakon tidak diperoleh.

Cubalah masuk ke dalam industri hiburan dan warnakanlah ia dengan warna putih bukan mempalitkannya dengan keladak!

Ramai yang mencari rezeki secara halal apabila memilih bidang seni dan hiburan sebagai platform kerja.

Jangan cemarkan atau rosakkan nama dan industri kalau nawaitu jadi anak seni, tidak lurus! – REFLEKS