Tuesday, March 5, 2024

Akademi Qurra’ minggu kelima makin mencabar, tiada penyingkiran!

TIADA penyingkiran dibuat pada program Akademi Qurra’ yang sudah memasuki minggu kelima siarannya yang ditayangkan di TV Alhijrah, pada Sabtu lalu.

Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, keputusan itu bagi memberi peluang kepada tilmiz dan tilmizah menyesuaikan pembelajaran dengan mentor atau mudarris dan mudarrisah baharu.

“Untuk minggu kelima, kami tetapkan untuk tiada penyingkiran disebabkan ada pertukaran di antara tenaga pengajar dan peserta. Jadi, kami mahu beri sedikit masa untuk tilmiz dan mudarris menyesuaikan diri.

Tilmizah Maghfirah di kedudukan terakhir.

“Antara sebab lain yang saya boleh katakan adalah, bila berhubung dengan juri tetap iaitu Ustaz Tarmizi dari Tanah Suci, dia pun ada harapan untuk minta supaya tiada penyingkiran dan tunggu sehingga dia balik pada minggu depan. Itu adalah sebab mengapa minggu kelima ini tiada penyingkiran,” katanya.

Disebabkan rombakan itu, Mudarrisah Soufizah meluahkan rasa kecewa apabila pihak produksi memutuskan tilmiz dan tilmizah di bawah didikannya bermula episod pertama iaitu Tilmiz Saifullah, Tilmiz Akasyah, Tilmizah Maghfirah dan Tilmizah Dr. Nooraini diganti dengan Tilmiz Fahmi, Tilmizah Shafiyah dan Tilmizah Nazhirah.

Ditanya mengenai maklum balas tilmiz dan tilmizah yang ditukar, menurut Zulkarnaen mereka terima dengan terbuka.

Juri jemputan, Ustazah Asni Mansor.

“Maklum balas daripada peserta pula, tiada antara mereka yang mengatakan kecewa, cuma ada perbezaan daripada kaedah mengajar oleh mudarris. Mungkin kalau lihat Ustazah Soufizah, dia mengajar lebih terperinci kerana dia juga adalah guru. Ada yang mengajar lebih kepada santai dan suka berkongsi. Tapi, daripada maklum balas yang diterima, semuanya baik dan okay saja. Kami mahukan mereka dapat seimbangkan dan sama dari segi kaedah pembelajaran,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan dan peningkatan setiap peserta, masing-masing memberikan saingan hebat.

“Dari segi peningkatan, sudah tentu kami lihat maklum balas daripada juri yang memerhatikan bermula edpisod pertama. Kalau lihat pemarkahan dan persembahan memang kedudukannya bertukar ganti. Kedudukan teratas itu sentiasa berubah-ubah.

“Tak pernah dalam satu episod itu mempunyai peserta yang berada di kedudukan tiga teratas adalah orang sama. Kadang-kadang peserta tidak boleh mengekalkan kedudukan masing-masing. Saya nampak mingu-minggu kebelakangan ini ada perserta yang memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Tilmiz Zuhdi mendapat Anugerah Alunan Terindah.

Pada minggu bertemakan Perwira Negara itu, Tilmiz Zuhdi berada di kedudukan teratas, diikuti dengan Tilmizah Nooraini dan ketiga, Tilmiz Akasyah. Sementara itu, Tilmiz Zuhdi juga mendapat Anugerah Alunan Terindah.

Program Akademi Qurra’ dihoskan Fakhrul UNIC, disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan berbeza pada setiap minggu.

Manakala Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula ialah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Soufizah Mousin.

Barisan mudarris dan mudarrisah.