Saturday, April 13, 2024

Lelaki dapat durian runtuh RM100,00 dari cabutan istimewa akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat

MOHD Faiz Abd Rahman hari ini membawa pulang wang tunai RM100,000 selepas beliau diumumkan sebagai pemenang cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus semasa majlis penyampaian hadiah yang diadakan di cawangan Bank Rakyat Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Mohd Faiz berkata, beliau bersyukur atas rezeki yang dikurniakan dan ini merupakan kali pertama beliau memenangi hadiah cabutan hadiah bagi produk pelaburan.

“Saya amat teruja dan berterima kasih kepada Bank Rakyat kerana memperkenalkan produk pelaburan yang mudah untuk disertai seperti Akaun Pelaburan-i Rizq Plus. Selain dapat mengembangkan wang simpanan, saya juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan dapat mengeluarkan wang pelaburan saya pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Zulkarnain Taman berkata, Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menunjukkan komitmen Bank Rakyat yang sentiasa berusaha mempelbagaikan tawaran dalam produk dan perkhidmatannya bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

“Diharapkan inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu memupuk tabiat melabur dan menyimpan dalam kalangan masyarakat malah dapat menggalakkan pelanggan untuk melabur dan menyimpan secara konsisten bagi memenuhi komitmen kewangan mereka,” ujarnya.

Akaun Pelaburan-i Rizq Plus merupakan akaun pelaburan sulung Bank Rakyat yang diperkenalkan pada Julai 2022 lalu bagi membolehkan pelanggan Bank berkenaan melabur dalam aktiviti kewangan patuh Syariah.

Di samping berpeluang memperoleh pulangan keuntungan yang tinggi, pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM1 juta secara keseluruhan menerusi program cabutan hadiah bagi kategori cabutan bulanan dan setiap setengah tahun.

Seramai 743 pelanggan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat telah berjaya memenangi cabutan wang tunai berjumlah keseluruhan RM562,000 sejak diperkenalkan.

Pelanggan boleh mendapatkan maklumat berhubung Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menerusi laman web dan media sosial rasmi Bank Rakyat, perkhidmatan perbankan internet iRakyat atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 serta mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran.