Tuesday, March 5, 2024

Over Kak Lina Pom Pom tetap manis dipandang

SERBA tak kena di mata netizen yang melontarkan kata-kata atau mencoretkan perkataan menghencap Elly Mazlein seolah-olah si netizen itu adalah pengacara bertaraf internasional!

Sesedap mengata, menghencap dan sesedap menulis seolah-olah wartawan pencen! Kalau sudah tak suka, buat apa pun serba tak kena tetapi untuk kelainan, tidak salah apabila artis seperti Elly Mazlein menjadi seorang pengacara yang tidak membayangi pengacara lain.

Khusus merujuk kepada program pertandingan realiti televisyen terbitan Astro yang rata-rata dikatakan sudah ‘lari’ daripada objektif asal pertandingan, Gegar Veganza atau GV musim kali ini menampilkan Elly Mazlein sebagai sisi pengacara yang berpasangan dengan Nabil Ahmad.

Pengacara Jehan Musa tidak meneruskan bidang pengacaraan musim ini kerana dia bersalin anak kedua dan dalam pantang.

Jadi, Elly Mazlein yang mahu nama dan kehadirannya atas pentas hiburan diterima ramai sebelum ini, bukan sahaja tampil sebagai peserta GV musim-musim yang lalu tetapi dia berani muncul denngan panggilan KAK LINA POM POM.

Rezeki KAK LINA POM POM yang dikomersialkan sehingga membawa rezeki kepada artis wanita ini.

Rezeki beliau menjadi pengacara GV tidak salah alamat, tidak salah tempat apabila ia singgah di tangan Elly Mazlein.

Menjadi pengacara bukannya mudah kerana ia perlu hidup, perlu ada chemistry dengan rakan pengacara dan yang paling penting, penampilan pengacara itu tidak membosankan penonton.

Biasalah, sukar untuk memuaskan hati semua orang. Ada yang suka, ada yang mencemuh termasuk tulisan cemuhan di media sosial seperti Facebook.

Namun begitu, daripada minggu pertama GV buka tirai sehingga Ahad lepas, energy yang ada pada Elly Mazlein sebenarnya adalah luar biasa dan tidak ada pada Jehan Musa, tidak pada Nabil Ahmad.

Energy luar biasa Elly Mazlein sepanjang GV bersiaran secara langsung sedikit sebanyak menyuntik kelainan dan membuatkan penonton terlupa bahawa GV pernah diacarakan oleh Jehan Musa.

Berlari dari hujung pentas ke hujung pentas dengan kasut tumit tinggi, tanpa menghiraukan dirinya OUT OF FRAME, itu yang dibuat oleh Elly Mazlein dan tidak mungkin Jehan Musa akan buat seperti itu!

Atau Nabil Ahmad sendiri menjadi statik kalau Elly Mazlein ‘control cun’ di atas pentas.

Apakah perlu Elly Mazlein menterjemahkan dirinya sebagai Jehan Musa apabila mengacarakan GV musim ini?

Semestinya tidak dan penonton juga tidak mahu melihat Elly Mazlein meniru cara pengacaraan Jehan Musa.

Mungkin Elly Mazlein memaparkan karakter bodoh-bodoh alang, muka toyer, muka selamba kena ‘marah’ atau kena ‘tegur’ oleh para juri pertandingan.

Tidak tahulah sama ada ia ada dalam skrip, dibuat latihan semasa rehersal atau pun secara spontan tetapi gelagat Elly Mazlein mencuit hati.

Kalau hati tidak tercuit melihatkan aksi spontan Elly Mazlein, memang hati batulah namanya!

Over atau tidak Elly Mazlein sebagai KAK LINA POM POM, ramai yang menanti siaran langsung GV pada minggu hadapan.

Kenapa? Sebab nak tengok KAK LINA POM POM beraksi selamba sebagai pengacara dan membuatkan Nabil Ahmad garu kepala!

Syabas Elly Mazlein, tahniah KAK LINA POM POM. Teruskan tugas dan tanggungjawab anda sebagai pengacara GV. – REFLEKS