Tuesday, March 5, 2024

Kamal Adli dipukul bertalu-talu dengan cota di Singapura, ini bukan adengan dalam drama!

JANGAN terlalu bersangka baik kerana ada buruknya dan apa yang menimpa aktor Kamal Adli di Singapura merupakan satu pengajaran buat semua artis tanah air.

Pergi ke negara orang atas tugasan, pasangan suami isteri ini rupa-rupanya mempunyai seorang peminat taksub yang menyimpan angan-angan untuk menyunting isteri Kamal Adli, Uqasha Senrose.

Lelaki atau individu ini kalau dilihat sebenarnya mempunyai masalah mental kerana dia bertindak di luar jangkaan.

Tanpa siapapun menduga bahkan menyangkakan dia akan menyerang Kamal Adli, aktor ini mengalami kecederaan parah susulan dipukul bertalu-talu dengan cota.

Ya cota! Bagaimana orang awam di FINE COUNTRY like Singapore bebas berjalan membawa bukan sahaja cota tetapi didakwa, turut mempunyai senjata tajam di tengah-tengah orang awam.

Kecekapan penguatkuasa negara jiran itu rupa-rupanya ada longgarnya ya! Dan pengurusan karnival jualan yang dihadiri oleh Kamal Adli, isterinya bahkan orang awam lain sepatutnya tidak terlepas pandang faktor keselamatan para pengunjung ke karnival jualan berkenaan.

Entah karnival jualan yang bagaimanakah yang disertai oleh pasangan selebriti negara kita ini kerana tiada pencerahan diberikan.

Kita mengharapkan agar si penyerang itu sudah ditahan oleh pihak penguatkuasa Singapura dan dikenakan Tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Kesalahan menyerang mangsa dengan cota dan memiliki senjata tajam pada tubuh lelaki Singapura  itu bolehlah dihitung sebagai dua kesalahan jenayah.

Cuma kita tidak tahu, di bawah seksyen apakah undang-undang Singapura boleh dikenakan terhadap penyerang berkenaan.

Jangan pula buat senyap dan tiada Tindakan susulan diambil terhadap pelaku itu.

Difahamkan Kamal Adli diserang di bahagian belakang sebelum penyerang itu memukul Kamal Adli pada bahagian tulang pipi.

Saksi kejadian sudah tentulah isteri Kamal Adli, Uqasha dan menurut beliau, darah keluar berjurai di baju suaminya itu.

Apabila Kamal mengangkat kepalanya, dia pukul pula di tulang pipi. Kemudian berkali-kali di badan dan dia (penyerang itu) pun ada senjata tajam, kata Uqasha yang bercerita tentang kejadian malang yang menimpa mereka menerusi perkongsian Uqasha di Instagram, Kamal sebelum ini sudah pun menerima balutan pada bahagian kepala untuk menghentikan pendarahan.

Namun untuk perkembangan semasa, Kamal terpaksa ditidurkan untuk menjalani pembedahan major akibat luka yang sangat dalam pada bahagian kepala.

Uqasha juga meluahkan kerisauannya apabila dia dan adik-beradiknya turut menerima ugutan daripada individu itu.

“Bila dia dah ditangkap oleh orang awam, dia berikan beberapa alasan antaranya, konon dia dihantar oleh satu pihak. Kemudian, katanya dia ada isu peribadi dengan Kamal dan bila ditanya lagi, dia beritahu bahawa dia cemburu apabila Kamal berkahwin dengan saya.

“Yang menjadi kerisauan kami, dia sempat mengugut kami. Katanya, dia ingat wajah kami termasuk adik beradik saya dan akan menanggung akibatnya,” kata Uqasha dalam catatannya di IG. – REFLEKS