Saturday, April 13, 2024

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam: MTUC nak bantu bekas kakitangan Utusan Melayu

SABTU lalu di hadapan bekas Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd di Jalan Utusan, Sungai Besi, Kuala Lumpur, sekumpulan bekas kakitangan Utusan Melayu yang diberhentikan kerja pada 9 Oktober 2019 kerana syarikat gulung tikar telah berkumpul untuk memperingati detik hitam yang memalit lebih 800 kakitangan organisasi persuratkhabaran tersebut.

Nasib bekas kakitangan Utusan Melayu tidak terbela oleh sesiapapun, sama ada di era Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, di tahun Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional-PN) naik sebagai Perdana Menteri mahupun hari ini.

Masing-masing umpama kucing yang menyembunyikan kuku masing-masing kerana sebahagian besar bekas kakitangan Utusan Melayu tetapi melopong tanpa sebarang bayaran saguhati perkhidmatan.

Pampasan? Jangan sebut kerana memang TIDAK ADA dan liquidator, hanya akan bayar pemiutang-pemiutang bercagar.

Tiga tahun masa berlalu dan hari ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan komitmen mereka untuk membantu bekas pekerja Utusan Melayu yang diberhentikan kerja bagi menuntut hak mereka dari segi pampasan atau apa-apa tunggakan pembayaran yang sewajarnya.

Bunyi amat manis, boleh percaya? Kita tunggu dan lihat kerana tidak mahu apa yang dinyatakan itu sebagai satu retorik.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya berharap tuntutan bekas pekerja Utusan Melayu akan diselesaikan secara baik melalui meja rundingan antara bekas pekerja dan majikan yang boleh dilakukan melalui campur tangan kerajaan terutama kepimpinan negara.

Bekas majikan apa yang dimaksudkan di sini kerana syarikat KUMPULAN UTUSAN MELAYU (M) BERHAD sudah tiada. Sudah tidak wujud. Yilek!

Yang bertindak menjual aset-aset yang dimiliki oleh KUMPULAN UTUSAN MELAYU (M) BERHAD ialah liquidator UHY.

Kata Kamarul Baharin, “MTUC akan berjumpa dengan kepimpinan negara terutama pemimpin UMNO bagi mengetahui adakah mereka ingin menyelesaikan masalah bekas pekerja Utusan Melayu ini atau tidak?”

Untuk pengetahuan Kamarul Baharin, mustahil UMNO tidak tahu letak duduk perkara syarikat gulung tikar, buang pekerja macam anjing kurap!

Kamarul Baharin berkata nak jumpa dengan kepimpinan negara, pemimpin  UMNO dalam pertemuannya dengan bekas pekerja Utusan yang diketuai oleh Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu, Saifol Bakhtiar Hamik di pejabat MTUC.

Bukan mahu menidakkan usaha atau memperkecilkan niat baik Kamarul Baharin tetapi mungkin kena tunggu lagi tiga tahun, kot-kotlah baru berhasil!

Akhbar Utusan Malaysia terbitan KUMPULAN UTUSAN MELAYU (M) BERHAD termasuk akhbar mingguan, Mingguan Malaysia memang sinonim dengan UMNO.

Ia bukan istilah ‘agak sinonim’ tetapi akbar arus perdana itulah yang suatu ketika sebelum tumbangnya Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018, menjadi kuda tunggangan ahli-ahli politik UMNO.

Banyak tugasan yang WC. Apa itu WC?

“Wajib Cover”!

Wartawan yang bertugas dengan akhbar Utusan Malaysia tahan telinga sahaja apabila dipanggil sebagai “BARUA UMNO” oleh pembangkang.

Kata Kamarul Baharin lagi, kerajaan terutamanya UMNO perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan nasib pekerja terutamanya warga Utusan Melayu kerana syarikat itu memperjuangakan orang Melayu dan parti itu sejak dari zaman sebelum merdeka lagi.

Mengimbas nostalgia memang mengasyikkan, realitinya, belum tentu menyenangkan!

“Masalah ini perlu diselesaikan segera dan tidak boleh dibiarkan berpanjangan.

“Sebagai Keluarga Malaysia, bekas warga kerja Utusan Melayu tidak seharusnya dianiaya dan dibiarkan terkontang-kanting dalam menuntut hak mereka,” kata Kamarul Baharin yang sedap didengar di halwa telinga.

Beliau berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang telah mula prihatin dengan nasib bekas pekerja dengan pengenalan pelbagai peraturan yang positif seperti bersetuju dengan cadangan MTUC agar semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi ruang kepada wakil MTUC untuk berada dalam lembaga pengarah syarikat.

Untuk rekod, Ahad ini genap syarikat KUMPULAN UTUSAN MELAYU (M) BERHAD tutup operasiselama tiga tahun dengan kaedah penggulungan sukarela.

Walau bagaimana pun tiada sebarang pampasan mahupun saguhati diberi kepada kira-kira 1,500 bekas kakitangan yang diberhentikan dan tungakan bayaran kepada kakitangan yang mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS) juga tidak dilunaskan.

Kamarul Baharin berkata, MTUC bersetuju untuk membela nasib bekas pekerja Utusan Melayu demi survival hidup kerana masih ramai yang dalam keadaan daif, sakit dan tiada pekerjaan akibat tidak bersedia apabila sayairkat itu ditutup dengan notis yang sangat singkat.

Syarikat yang bertindak sebagai pelikuidasi syarikat iaiitu UHY Advisory (KL) Sdn Bhd masih belum menjelaskan sepenuhnya apakah bayaran yang akan diperoleh oleh bekas kakitangan Utusan Melayu dan bilakah mereka akan menerimanya walaupun proses penjualan aset Utusan telah berjalan sejak tiga tahun lalu. – REFLEKS