Tuesday, March 5, 2024

Penjawat awam Sarawak takut berbahasa Melayu dengan fasih?

SUDAH berpuluh tahun negara kita merdeka. Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia.

Sekarang hampir timbul pembahagian Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Nak pergi ke Sabah dan Sarawak, kena naik kapalterbang. Atau kata dialek mereka, naik belon! Walau pun banyak dialek, banyak bahasa pertuturan kita tetap rakyat Malaysia, Keluarga Malaysia.

Jadi tidak sepatutnya timbul rasa ragu-ragu untuk bukan sahaja bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik tetapi juga menghormati penggunaan bahasa Kebangsaan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Sik molah …. Jangan takut bah! Kita guna bahasa Melayu dalam urusan rasmi termasuk penjawat awam yang bertugas di Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri dan kementerian-kementerian lain.

Bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih memang tidak dihalang sama sekali. Bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu dengan betul, itu satu tuntutan kalau kita semua ada jati diri sebagai anak Malaysia.

Makanya, Pengerusi Jemaah Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan mencadangkan individu yang didapati tidak menghormati Bahasa Kebangsaan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara melalui pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959.

Cadangan itu dilontarkan oleh Awang pada 21 Jun lalu dan kesalahan membabitkan denda dikenakan pada masa hadapan.
Awang menjelaskan cadangannya itu bukan soal salah tatabahasa atau ejaan tetapi tidak menghormati Bahasa Kebangsaan.

Jelas beliau, usul denda yang dikenakan pula bukan untuk menghukum sebaliknya untuk membangkitkan kecintaan dan patriotisme kepada negara.

Ekoran cadangan yang dilontarkan oleh Awang, seorang menteri dari Sarawak menyelar cadangan itu.

Menteri berkenaan juga berkata, cadangan menguatkuasakan tindakan dalam sektor awam yang mengambil mudah arahan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai “mengarut dan bodoh”.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perdagangan, perniagaan dan komunikasi.

Oleh itu, kata Abdul Karim, penjawat awam sepatutnya digalakkan menggunakan bahasa Inggeris dengan betul dan bukannya dikenakan tindakan untuk itu.

Abdul Karim mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas pihak yang mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu.

Mohd Zuki berkata, langkah itu sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa bahasa Melayu bukan sahaja akan diperkasakan di negara ini malah digunakan di peringkat antarabangsa.

Pagi ini, dalam sesi Dewan Rakyat, isu pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 dibangkitkan oleh Ahli Parlimen dari Penampang, parti Warisan, Ignatius Darell Leiking.

Persoalan beliau dijawab oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin yang berkata, cadangan pindaan terhadap itu masih dalam peringkat penelitian pihak Kementeriannya.

Ignatius Darell yang bimbang cadangan Awang Sarian yang turut membabitkan denda terhadap pihak yang ingkar kepada penggunaan Bahasa Kebangsaan turut terpakai di Sabah dan Sarawak.

Menteri termasuk Ahli Parlimen Warisan sebenarnya tidak perlu bimbang dengan cadangan yang masih dalam peringkat kajian.
Lagipun penggunaan bahasa Melayu, bahasa Kebangsaan telah termaktub dalam Perlembagaan.

Maka itulah, kata Radzi di Dewan Rakyat, “sebarang cadangan untuk mewujudkan kesalahan berkenaan dengan penggunaan bahasa Melayu akan diteliti secara mendalam dan menyeluruh termasuk implikasi pelaksanaannya.” – REFLEKS