Tuesday, March 5, 2024

Festival indie Asia Tenggara atau TAPAUfest di Lenggong, Perak

BERHIBUR boleh tetapi jangan keterlaluan mengasyikkan sehingga membawa kepada kerosakan dan kebinasaan.

Kita tahu wujudnya Festival Rainforest yang mengumpulkan penggiat muzik underground dalam satu temasya besar-besaran.

Hari ini, ada pula Festival indie Asia Tenggara  atau TAPAUfest yang dikatakan kembali dengan keunikan dan kepelbagaian tarikan.

TAPAUfest 2022 menggabungkan elemen alam semula jadi dan seni diadakan di Lenggong, Perak. Ini bermakna komuniti muzik indie Asia Tenggara bakal berkumpul dan beraksi dikelilingi alam semula jadi.

Pada 22 dan 23 Oktober, TAPAUfest bakal diadakan pada 22 dan 23 Oktober ini dengan para pesertanya berkelah atau berkhemah di Resort Tasik Raban.

Menurut kenyataan Pengasas TAPAUfest, Ahmad Faris, pengunjung disajikan dengan persembahan barisan pemuzik indie terbaik Asia Tenggara.

TAPAUfest bukan festival biasa-biasa, kata Ahmad Faris sebaliknya ia mempunyai visi yang jelas untuk disampaikan kepada pengunjung.

“Salah satu sebab kami memilih mengadakan festival ini di Lenggong kerana kami mahu diberikan peluang meneroka kawasan luar bandar,” jelasnya.

Beliau  merasak, selepas satu dunia terkesan dengan wabak Covid-19, orang ramai mahukan lebih daripada sekadar konsert.

Oleh itu, dengan tema #SerumpunBerpesta, Ahmad Faris memberitahu, TAPAUfest menghimpunkan 12 aksi persembahan ‘PENTAS’ merentasi genre dan nuansa dari Malaysia, Indonesia dan Singapura selama dua hari.

Pada hari pertama TAPAUfest 2022 menampilkan .Feast (ID), Margasatwa (MY), Abangsapau (SG), Sweetass (MY), The Pinholes (SG) dan Salammusik (MY).

“Jadi hari kedua kita teruskan dengan persembahan Kungfu Heidi (MY), The DARE (ID), The Filters (MY), Sobs (SG), The Times (MY) dan Hindia (ID),” katanya.

Dengan campuran kugiran yang sudah dikenali dan nama yang baru naik dalam ruangan alternatif, TAPAUfest berbangga untuk menjadi pentas penampilan sulung untuk barisan artis Indonesia di Malaysia, iaitu Hindia, The Dare dan .Feast!, katanya.

“Aksi dari artis Malaysia semestinya menjanjikan kelainan baharu dengan penampilan Kungfu Heidi bersama Serbuk Cheese.

“Ini pastinya membuatkan kita terpukau dengan gabungan musikalisasi hip-hop dan hardcore,” ujar beliau.

Ahmad Faris memberi jaminan, aksi musisi dari Singapura tidak kurang menariknya.

Katanya, dari Singapura, dipersembahkan nostalgia pop-yeh-yeh The Pinholes, rapper Sikh-Melayu dengan keterampilan berkain pelikat, Abangsapau, hingga ke indie pop, Sobs!

“Persembahan muzik akan bermula pada pukul 5 petang, memberikan ruang dan masa untuk para pengunjung meneroka pelbagai aktiviti dan tempat menarik yang ditawarkan di Lenggong.

“Jadi tak perlu tergesa-gesa memasang khemah kerana ini adalah peluang anda untuk santai bersama,” katanya.

Dari pukul 10 pagi sehingga 4 petang, jangan lepaskan peluang menonton tayangan dari pembikin filem indie.

“Dan belajar dari bengkel dan sesi kongsi di ‘BENGKEL + LAYAR’, hasil kerjasama bersama Kakiseni. Inilah masanya untuk anda ‘Tapau sedikit pengetahuan!’,” kata Ahmad Faris.

Kata Ahmad Faris lagi, misi TAPAUfest adalah untuk memartabatkan ekonomi tempatan dengan menyajikan makanan dan minuman mengikut citarasa tempatan di ‘WARUNG’.

TAPAUfest bekerjasama dengan Kedai Serba Serbi untuk membawakan kelainan dengan terdapatnya reruai untuk barangan, rilisan fizikal seperti piring hitam, kaset dan CD, selain karya seni dari artis tempatan.

“Nilai sebuah festival itu bukan sekadar terletak di persembahan muzik. Ia juga tentang kenalan baru yang dibuat dan memori yang dicipta,” katanya.

Tiket Pra-Jualan boleh dibeli dengan Tiket Solo Sehari berharga RM165 (1 tiket untuk Hari 1 atau Hari 2), Tiket Solo Weekend berharga RM320 (1 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2) dan Tiket Geng Weekend berharga RM1240 (4 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2). – REFLEKS