Monday, March 4, 2024

Kerajaan bakal pinda AUKU, beri lebih kebebasan kepada mahasiswa

DUA Seksyen iaitu Seksyen 15 dan Seksyen 16 dalam Akta Universiti dan Akta Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dipinda bagi menyesuaikan keperluannya.

Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian kini dalam proses memuktamadkan fasa-fasa yang perlu dipinda kerana ada banyak perkara yang telah lama dibangkitkan.

Katanya, pindaan itu diharap akan dapat memberikan ruang yang lebih luas kepada mahasiswa mengadakan aktiviti dan menguruskan kewangan persatu secara sendiri tanpa terlalu dikongkong universiti.

“Ia (AUKU) telah menjadi satu subjek yang popular dan tidak putus-putus diperkatakan. Akta yang dilihat menyekat kebebasan pelajar dan tenaga akademik.

“Kita sedang melihat penambahbaikan yang akan dibuat dan dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

“Sekarang kami sekarang dalam fasa terakhir  memurnikan ayat-ayat,”  katanya kepada pemberita selepas Sesi Town Hall di sini, hari ini.

Sesi Town Hall itu diadakan untuk memberi peluang kepada pelajar yang juga selaku pemegang taruh mengutarakan pendapat dan soalan mengenai akta berkenaan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abul Razak Jaafar dan wakil pentadbiran tertinggi universiti awam tempatan.

Mohamed Khalid berkata, pindaan akta itu diharap akan dapat dilaksanakan menjelang hujung tahun ini namun ia masih bergantung kepada penggiliran akta-akta lain yang akan dibentangkan.

“Draf RUU itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada pertengahan Jun depan untuk dipersetujui dan diluluskan di Parlimen.

“Antara perkara yang dibangkitkan pelajar adalah tidak bebas melakukan aktiviti kerana perlu merujuk dan mendapat kelulusan dari pihak universiti untuk melakukan aktiviti,” katanya.

Beliau berkata, melalui usaha itu beliau mengharapkan pelajar akan menjadi manusia yang lebih matang bertanggungjawab dalam pengurusan wang dan acara.

“Dalam konteks ini, kalau AUKU dipinda, segala garis panduan yang hendak diwujudkan boleh dirunding bersama pihak universiti dan persatuan atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pelaksanaannya akan ditentukan sendiri oleh mereka,” katanya. – REFLEKS

Baca ini > PTPTN umum dividen Simpan SSPN 3.05 peratus