Saturday, April 13, 2024

Amelia Henderson langgar kontrak, bayar A.Aida lebih RM200,000

GOLONGAN pelakon tanah air perlu ambil ikhtibar dan pengajaran daripada apa yang dilalui oleh aktres Amelia Henderson.

Dia telah melanggar kontrak yang ditandatangani dengan syarikat A. Aida Production Sdn Bhd untuk membintangi drama bersiri berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

Ekoran daripada pelanggaran kontrak tersebut, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Amelia membayar pampasan lebih RM200,000 kepadaDatuk Aida, empunya A. Aida Production Sdn Bhd.

Tidak cukup dengan perintah membayar sejumlah pampasan yang tinggi, Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan turut memerintahkan aktres muda berusia 28 tahun itu memulangkan bayaran pertamanya sebanyak RM3,920 kepada syarikat produksi berkenaan dengan tambahan faedah lima peratus.

Amelia juga diperintah oleh Mahkamah membayar RM90,000 sebagai pampasan am dan membayar balik jumlah kos pengeluaran RM101,325 dengan faedah lima peratus kepada syarikat produksi tersebut.

Satu lagi pengajaran kepada semua termasuk Amelia ialah dia perlu mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada Datuk A. Aida dalam tempoh tujuh hari akan datang.

Dan menurunkan video yang mengandungi unsur fitnah terhadap syarikat produksi yang disiarkan di laman Instagram (IG) akaun milik Amelia, tahun lepas.

Jangan main-main apabila diturunkan tandatangan ke atas kontrak kerana istilahnya, kontrak itu mengikat atau binding.

Pecah kontrak atau breach of contract oleh mana-mana pihak atau party, boleh diheret ke mahkamah untuk mendapatkan tuntutan dan keadilan.

Golongan artis tempatan hari ini seharusnya cerdik dan celik pengetahuan apabila masuk bab kontrak.

DATUK A. AIDA – GAMBAR MSTAR CARIAN DI GOOGLE

Ia bukan sekadar suka-suka untuk tandatangan dan langar kontrak tanpa melihat apakah natijah atau kesannya.

Apabila masuk mahkamah dan kalah, maka macam-macam kos yang perlu ditanggung oleh defendan.

Sekali lagi dalam kes Amelia dan A. Aida, Mahkamah mendapati aktres itu selaku defendan dalam saman, terikat dengan kontrak yang ditandatanganinya dan menolak syarat bukan lagi pilihan selepas dokumen itu ditandatangani.

Tiada alternatif untuk defendan selepas menurunkan tandatangan ke atas kontrak selain dia perlu menghormatinya.

Dalam erti kata lain, defendan hanya mempunyai satu pilihan iaitu memenuhi kontrak yang ditandatangani.

Kontrak itu bukan semata-mata untuk rekod pengurus kerana ia adalah kontrak ‘hidup’ dan mengikat defendan, itu apa yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah.

Seperkara lagi, Mahkamah turut memerintahkan injunksi terhadap Amelia yang menghalangnya daripada mengulangi atau menyebarkan fitnah terhadap syarikat produksi itu dan kos yang perlu dibayar oleh Amelia ialah RM18,000.

Fakta kes menunjukkan kedua-dua Amelia dan pelakon Muhammad Idris Abd Ghafar yang nama pentasnya Idris Khan telah bersetuju dengan pihak produksi untuk berlakon sebagai watak utama dalam drama bersiri Sekali Lagi Cinta Kembali yang merupakan adaptasi daripada novel yang ditulis oleh Anna Milia.

Syarikat itu telah menyerahkan sinopsis siri kepada Amelia dan Idris pada 17 Januari tahun lepas yang membawa kepada kedua-dua mereka menandatangani kontrak lapan hari kemudian.

Aida memfailkan saman terhadap kedua-duanya pada 28 Julai, mendakwa mereka melanggar kontrak apabila menarik diri pada saat-saat akhir sebelum penggambaran dimulakan.

Mahkamah melihat tiga saksi plaintif termasuk Aida serta tiga saksi pembelaan termasuk Amelia memberi keterangan sepanjang prosiding saman bermula 1 November tahun lalu.

Bagaimanapun, Idris bersetuju dengan penyelesaian di luar mahkamah dengan Aida pada hari pertama perbicaraan.

Semasa prosiding, Pengurus syarikat produksi Fazeyla Ahmad memberi keterangan bahawa syarikat itu terpaksa menanggung kerugian selepas Amelia melanggar kontraknya. – REFLEKS