Saturday, April 13, 2024

Polis Australia rampas 336kg heroin bernilai RM789 juta dalam sebuah kontena dari Malaysia

PIHAK berkuasa Australia merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan minggu lalu, berkata Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

Menurutnya, semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena itu yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

“Pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan, positif dadah jenis heroin.

“Penyiasat AFP serta pegawai ABF kemudian menggerudi sehingga bahagian dalam blok konkrit dan berjaya mengeluarkan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihak berkuasa mengeluarkan semua bungkusan heroin daripada blok konkrit berkenaan dan meneruskan menghantar konsainan ke alamat di Brendale, utara Brisbane pada 28 Mac lalu.

“Pada 29 Mac lalu, risikan mendapati konsainan itu diambil oleh seorang lelaki tempatan menggunakan trak yang disewa menuju ke Sydney sebelum ia diturunkan di sebuah bangsal industri di Mount Druitt pada 30 Mac.

“Lelaki berusia 55 tahun itu kembali semula ke bangsal itu bersama alat pemotong industri untuk mengeluarkan bungkusan dadah dalam blok konkrit berkenaan sebelum ditangkap,” katanya.

Susulan itu, katanya, AFP menggeledah beberapa premis perniagaan dan kediaman di New South Wales serta Queensland dan merampas pelbagai barangan berharga, termasuk barang kemas bernilai AUD700,000 (RM2.05 juta).

Rampasan heroin seberat 336kg itu adalah yang kedua terbesar pernah direkodkan AFP dan ABF. Rampasan terbesar heroin seberat 450kg direkodkan di Melbourne pada 2021.

Sementara itu, Komander AFP, John Tanti, berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat bersama negara antarabangsa dan negara anggota Komanwel dalam membanteras aktiviti penyeludupan dadah.

“AFP komited untuk menghentikan kegiatan sindiket yang menggunakan Lautan Pasifik sebagai ‘lebuh raya dadah’ secara maritim dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sindiket yang mendalangi kegiatan itu.

“Kegiatan jenayah terancang rentas negara ini adalah satu ancaman kepada Australia, sedangkan sindiket dadah menjana jutaan dolar daripada kegiatan itu,” katanya.