Tuesday, March 5, 2024

Saya menulis surat terbuka sebab tiada sesiapa ada akses untuk bercakap dengan ayah

BERUSIA 62 tahun, bapa kepada penyanyi Shila Amzah, Datuk ND Lala bertuah kerana dapat berkahwin dengan pucuk muda.

Isteri baharunya, rakan sebaya dengan Shila dan kawan semasa di bangku sekolah dahulu, kini menjadi mak tiri selepas bernikah dengan ND Lala.

Ekoran itu, Datin Fauziah Sarman, 55, menuntut agar diceraikan kerana tidak mahu hidup bermadu selepas pasangan ini dikurniakan empat orang anak.

Seperti lazimnya, selepas berkahwin baharu, anak-anak agak sukar untuk berkomunikasi dengan sang ayah.

Lainlah Shila yang meminta orang ramai jangan campuri urusan hal ehwal keluarganya kerana dia sendiri sedang dilamun cinta dengan pempengaruh.

DATIN FAUZIAH

Usia kekasih Shila adalah lebih muda daripada usianya dan kalau istilah moden, bercinta dengan anak ikan!

Adik Syada yang juga anak ketiga hasil perkahwinan ND Lala dan Fauziah, tampil dengan surat terbuka kepada bapanya. Surat itu dikongsi melalui laman Instagramnya.

Berikut adalah catatan Syada buat ND Lala yang juga seorang artis, penyanyi yang sedang bahagia dengan isteri mudanya.

“Ayah, tiada lagi gambar ayah pada hari ini. Saya menulis surat terbuka sebab tiada sesiapa ada akses untuk bercakap dengan ayah.

“Pertama sekali, Selamat Hari Jadi yang ke-62 tahun. Terima kasih di atas segala pengorbanan untuk membesarkan kami empat beradik.

“Mewakili adik beradik yang lain, kami sudah terima hakikat apabila ayah pilih untuk pergi, ayah tak pilih kami.

“Kami dah lama tahu tapi sekarang semuanya sudah jelas. Selamat Hari Raya”, luah Syada.

 

Walaupun ucapan yang dizahirkan oleh Syada ringkas namun ia cukup meruntun hati apabila membacanya.

Menerusi ruangan komen di Instagram, ramai pengikut dan rakan-rakan artis memberikan kata-kata semanga kepada Syada dan keluarganya.

Terdahulu, hangat diperkatakan mengenai keretakan rumah tangga pasangan ND Lala dan isterinya, Fauziah yang dinikahi sejak 1989.

Menerusi pendedahan yang dibuat oleh Fauziah sendiri, suaminya itu dipercayai telah berkahwin lagi dan isteri muda ND Lala merupakan kawan sekolah Shila sendiri, Siti Munirah Abd. Ghani. Mereka pernah sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah, Kuala Lumpur.

Siti Munirah ini juga sering berkunjung ke rumah mereka untuk majlis-majlis tertentu terutamanya yang melibatkan keluarga Shila.

Fauziah telah menfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada Isnin lalu. – REFLEKS