Tuesday, March 5, 2024

Belajarlah jadi ibu bapa yang mencorak anak-anak

PEDIH kalau ditegur secara terbuka tetapi ibu bapa zaman sekarang amat jauh berbeza berbanding dengan kedua ibu dan bapa kita dulu.

Mendidik anak-anak di rumah dilihat sebagai tugas seorang ibu dan ayah pula keluar mencari rezeki. Itu norma kehidupan yang dilalui oleh golongan berusia lebih 40 tahun, hari ini.

Jika dilihat sekali imbas, menjadi ibu bapa bukanlah satu perkara yang mudah kerana anak-anak adalah anugerah yang dikurniakan Allah untuk dididik dengan baik.

Maka itulah, baru-baru ini, tersebar klip video sepasang suami isteri sedang syok menghidu gam di dalam kereta dan anak mereka melihat perbuatan itu.

Anak sekecil itu mungkin tidak faham apakah yang sedang berlaku atau pun yang dilakukan oleh ibu dan ayahnya.

Tetapi si ayah yang sedang khayal, tanpa memikirkan risiko mengundang, memandu kereta dengan selambanya.

Andai kata terjadi kemalangan, siapakah yang harus disalahkan? Lagipun, malang tidak berbau!

Perbuatan kedua suami isteri itu dikatakan berlaku di negeri hang tuah dan walaupun tiada tindakan diambil ke atas pasangan tersebut, ia sepatutnya dielakkan.

Tidak perlu tunjuk contoh yang tidak elok di hadapan anak-anak kerana ia akan mempengaruhi anak itu kelak.

Keluarga Malaysia, jadilah ibu bapa yang mampu mendidik anak-anak agar menjadi modal insan yang berguna di dunia dan akhirat. – REFLEKS