Tuesday, February 27, 2024

Sekarang anda boleh Setel je dengan DuitNow

TERKENAL sebagai perintis transformasi dalam pengalaman pengisian minyak di stesen-stesen petrol pada hari ini, Setel mempunyai misi untuk mengubah definisi mobiliti, termasuk menawarkan pengalaman pembayaran yang lebih mudah di pelbagai titik sentuh untuk kegunaan harian pengguna.

Integrasi DuitNow QR dengan fungsi “Setel Pay” dalam aplikasinya berpotensi untuk meluaskan lagi penerimagunaan kaedah bayaran tanpa tunai dalam kalangan pengguna. Setel telah melancarkan DuitNow QR dan menyertai ekosistem berskala besar yang dioperasikan oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet). Manfaatnya juga dinikmati oleh peniaga-peniaga DuitNow QR yang kini memiliki akses ke para pengguna aktif Setel.

Aplikasi Setel kini boleh digunakan untuk mengimbas dan membuat pembayaran di mana-mana kedai yang menyediakan kod DuitNow QR. Dalam tempoh satu tahun, pengguna Setel juga akan dapat menghantar dan menerima dana melalui DuitNow QR serta menjana kod DuitNow QR mereka sendiri bagi memudahkan pemindahan dana ke e-dompet mereka.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel, menekankan pendekatan syarikat yang berpaksikan pelanggan dengan menyatakan, “Pelanggan kami merupakan teras organisasi kami, dan kami telah menerima permintaan demi permintaan untuk meluaskan lagi kemudahan yang ditawarkan oleh aplikasi Setel bagi memenuhi pelbagai keperluan pengguna.” Beliau tambah juga,

“Integrasi dengan DuitNow QR jelas sekali membuktikan komitmen kami untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik, khususnya bagi demografik pelanggan kami yang paling utama, iaitu pengguna kenderaan. Sambil itu, kami terus berusaha untuk menjadikan Setel lebih inklusif dan mudah diakses oleh ramai lagi pelanggan bagi kegunaan runcit dan lain-lain.”

Gary Yeoh, Ketua Pegawai Komersial PayNet, turut meluahkan keterujaan beliau terhadap usaha sama tersebut, “Di PayNet, kami komited untuk mencapai aspirasi kewangan yang inklusif dan berinovasi di Malaysia. Menerusi kerjasama antara Setel dan DuitNow QR ini, kami dapat menaik taraf kemudahan dan aksesibiliti buat seluruh rakyat Malaysia.”

Dari 30 Mac 2023 hingga 31 Mei 2023, pengguna Setel dapat kumpul mata ganjaran Mesra bagi setiap transaksi bayaran yang dibuat melalui DuitNow QR. Mata ganjaran tersebut boleh ditebus untuk pembelian petrol serta pelbagai ganjaran menarik yang lain.

Fungsi ini dapat diakses dengan mudah melalui tab ‘Bayar’ yang terletak di laman utama aplikasi Setel. Ketik sahaja butang ‘Imbas kod QR’, dan setelah fungsi pengimbas muncul di skrin anda, imbas kod DuitNow QR yang disediakan, tetapkan jumlah bayaran, dan hantar. – REFLEKS

Kredit: EnjinDotCom