Monday, December 4, 2023

Budak lelaki 6 tahun pandu kereta, bakal pemandu ‘formula 1 negara’?

AYAH tidur, mak masuk tandas. Dua beradik masing-masing berusia enam dan tiga tahun tiba-tiba ‘lesap’ yang akhirnya menimbulkan suasana gempar di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi.

Niat si abang yang berusia enam tahun nak pergi kedai bawa adik mendorongnya mengambil kunci kereta ayah dan start enjin kereta.

Abang pemandu, adik penumpang… Kereta dipandu tidaklah jauh mana pun, lebih kurang 2.5 kilometer sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu, malam tadi.

Ekoran kemalangan itu, nasib baik memang sentiasa ada kerana pemandu kanak-kanak umur enam tahun itu mengalami luka di dagu manakala adiknya sebagai penumpang, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Persoalannya, macam manakah kunci kereta boleh berada di tangan si abang kalau bapanya tidak meletak atau menyimpan kunci kereta itu jauh daripada capaian si anak?

Janganlah ibu bapa ambil mudah apabila anak-anak tahu di manakah letaknya kunci kereta ataupun kunci motorsikal anda.

Bukanlah satu kebanggaan apabila anda secara tidak sedar, mengajar anak anda perbuatan tidak sepatutnya dilakukan apabila anda memandu sambil memangku anak anda.

Pernah tengok kan perbuatan seperti ini? Untuk apa buat perkara seperti ini kerana secara tidak langsung, ia mendorong si anak kecil untuk memandu tanpa mengetahui risiko yang bakal dihadapi jika terbabit dalam kemalangan.

Dalam kes kanak-kanak lelaki di Langkawi ini, tentu ibu bapa tidak tahu kedua beradik itu hilang bersama kereta.

Mujurlah kereta yang dipandu hilang kawalan serta terbabas lalu masuk ke tepi jalan di Jalan Bukit Tangga.

Kereta rosak di bahagian hadapan termasuk bumper hadapan sebelah kiri boleh dibaiki tetapi kalaulah nyawa dua beradik ini melayang, menangis keluar air mata darah pun tidak berguna.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Lesen memandu si bapa patut digantung sebagai satu pengajaran. – REFLEKS