Wednesday, April 17, 2024

Jom kita ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dari 9-11 Jun ini

KERETA-KERETA khas yang diimpot terus dari Jepun dan penala-penala (tuner) terunggul seperti Top Secret, Spoon, HKS dan Greddy antara lain akan menyerikan penganjuran sulung Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dari 9-11 Jun 2023 di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pameran ini yang juga merupakan pertunjukan satelit bersandarkan pameran kereta terkemuka di Jepun, akan meliputi ruang pameran berjumlah 130,000 kaki persegi dan dijangka menarik lebih 150,000 pengunjung dari dalam Malaysia dan rantau ASEAN. Pameran ini dianjurkan bersama oleh MUSE Group Asia dan Element X Strategies, dengan gandingan San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon.

“Sejak MUSE Group Asia menganjurkan pameran Tokyo Auto Salon yang pertama di luar Jepun iaitu di Singapura pada 2013, hasrat kami ialah untuk membawa pameran berprestij ini ke Malaysia. Selepas perancangan selama 3 tahun, akhirnya kami dengan sukacitanya mengumumkan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur akan menjadi realiti hanya beberapa bulan sahaja lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia Riduwan Matni yang melancarkan pameran tersebut hari ini. Turut hadir ialah Encik Junichi Fukui selaku Ketua Pengarah Persekutuan Tokyo Auto Salon.

Dalam 40 tahun penganjuran Tokyo Auto Salon, ianya telah berkembang menjadi salah satu pertunjukan antarabangsa terulung bagi peminat-peminat dan para peserta pameran. Pada asalnya, pameran ini bermula untuk meraikan paparan inovatif dan kreatif bagi kereta-kereta keluaran Jepun namun ia telah berkembang untuk merangkumi semua jenama dan jenis kenderaan.

Pertunjukan ini juga diiktiraf sebagai platform berprestij oleh pengeluar-pengeluar kenderaan serta syarikat-syarikat aksesori dan alat-alat ganti berprestasi tinggi yang menganggapnya sebagai landasan terbaik untuk mempamerkan tawaran-tawaran terkini dan hasil mereka yang paling inovatif. Secara purata 1,000 kenderaan, lebih daripada 500 peserta pameran, 4,000 gerai-gerai dan lebih dari 300,000 pelawat Jepun dan antabangsa mengunjungi pameran ini setiap tahun.

Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur menawarkan peluang menarik bagi pemain-pemain automotif besar dan kecil di Malaysia dan rantau ASEAN untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan terbaharu mereka dengan saiz gerai yang berbeza untuk disewa. Lebih dari 50% ruang pameran telah pun diisi dan antara peserta pameran yang telah disahkan hadir termasuk Red Springs Sdn Bhd yang akan mengendalikan pameran 4X4, Hot Wheels, EMMA Malaysia dan Soon Soon Garage. Pemain-pemain automotif serantau yang turut menyertai pameran tersebut termasuk Option 4 Wheel dari Thailand dan Adtory-Minshing Brakes Automotives dari China.

Segmen pasaran barangan dan peralatan automotif di Malaysia bernilai lebih AS$6 billion setahun dan ini merupakan satu sumbangan yang amat besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Menurut Tinjauan Sedunia Nielsen berkaitan Permintaan Automotif, Malaysia turut mencatatkan tahap ke-3 tertinggi dari segi pemilikan kereta secara global iaitu pada tahap 93% isi rumah. Bersandarkan latar belakang ini, kami yakin peminat-peminat permotoran dan jenama-jenama automotif akan mengalu-alukan kehadiran Tokyo Auto Salon di Malaysia,” kata Riduwan.

“Dengan sokongan kesemua rakan-rakan kongsi dan orang ramai, dan tidak lupa juga dari rakan-rakan media, pameran ini berpotensi menjadi pencetus dalam merancakkan semula industri barangan dan peralatan automotif yang telah menempuh pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19 dan kini sedang menuju ke arah pemulihan. Kami tidak sabar mengacarakan pameran yang bersesuaian dengan prestij Tokyo Auto Salon.”

Sementara itu, Ketua Pengarah Persekutuan Tokyo Auto Salon Encik Junichi Fukui berkata keputusan untuk membawa Tokyo Auto Salon ke luar Jepun adalah bertujuan untuk mendapatkan pendedahan yang lebih meluas untuk ahli-ahlinya dan bagi meneroka pasaran-pasaran baharu.

“Pameran di Kuala Lumpur juga akan mengetengahkan satu persembahan yang lebih bertaraf antarabangsa dengan paparan kenderaan-kenderaan tempatan yang telah diubah suai serta pameran-pameran yang menampilkan aksesori, barangan automotif berprestasi tinggi dan pelbagai perkhidmatan dari Malaysia dan rantau ASEAN. Objektif kami yang lebih besar adalah untuk mewujudkan platform yang berdaya maju untuk ahli-ahli kami serta bakal-bakal pengeluar serantau untuk terlibat dan berkerjasama dalam perniagaan,” kata Fukui.

“Cinta terhadap kereta JDM telah berkembang pesat di seluruh dunia dan Tokyo Auto Salon telah berada di pusat fenomena ini. Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dijangka dapat menjadi hab strategik untuk peminat-peminat dan ahli-ahli kami di rantau ASEAN.”

Selain peserta pameran tempatan dan antarabangsa, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur juga akan menampilkan kehadiran ratu-ratu perlumbaan dari Jepun. Beberapa persembahan dan bengkel juga telah diatur sempena pameran tersebut manakala pembeli-pembeli tiket terawal layak untuk menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berbentuk perjalan dan perbelanjaan berbayar ke Tokyo Auto Salon 2024 untuk 2 pasangan bertuah.

Tiket berharga RM60 dan RM28 sehari bagi dewasa dan kanak-kanak dan mereka yang mengambil kesempatan untuk membeli awal (18-30 Mac) akan menikmati diskaun atau potongan sebanyak 30% iaitu RM40 dan RM18 sehari bagi dewasa dan kanak-kanak. Tiket boleh dibeli dalam talian sehingga bermulanya pameran di laman web www.tokyoautosalonkl.com.