Saturday, April 13, 2024

Gloria Jean’s Coffees sasar 80 cawangan baharu dalam masa lima tahun akan datang

PERBADANAN Nasional Berhad (Pernas) melalui anak syarikatnya Wonderful Lifestyle Sdn Bhd (WLSB) yang merupakan pemegang francais induk jenama Gloria Jean’s Coffees menyasarkan pembukaan 80 cawangan baharu Gloria Jean’s Coffees dalam tempoh lima tahun.

Malam semalam Gloria Jean’s Coffees meluaskan sayap rangkaiannya dengan membuka cawangan yang ke-47 di Conezion IOI Resort City Putrajaya. Pembukaan cawangan ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Binti Zainuddin.

Mengulas mengenai pembukaan cawangan baharu dan bantuan, Hazimah menyatakan bakal usahawan perlu merebut peluang untuk menceburi industri kopi premium seperti Gloria Jean’s Coffees.

Gloria Jean’s Coffees menawarkan peluang kerjaya untuk menjadi francaisi di mana jenama ini merupakan satu-satunya jenama gourmet coffee antarabangsa yang menawarkan sistem francais di Malaysia yang mana ia boleh menggalakkan lebih ramai menceburi bidang ini dan seterusnya bergelar coffeepreneur.

“Pernas menyediakan khidmat nasihat, pembiayaan dan program latihan bagi membantu bakal usahawan yang berminat untuk meneroka bidang perniagaan Gloria Jean’s Coffees. Pernas menyediakan skim pinjaman pembiayan sehingga 70 peratus (tertakluk pada terma dan syarat) kepada bakal usahawan baharu”, katanya lagi.

Pernas setakat ini telah meluluskan pembiayaan kepada 45 orang usahawan kopi Gloria Jean’s Coffees dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM13 juta. Gloria Jean’s Coffees menawarkan tiga (3) konsep francais kepada yang berminat untuk menceburi perniagaan ini iaitu konsep lot kedai, kios dan coffee cart. – REFLEKS!