Saturday, April 13, 2024

Bank Rakyat tawar Pembiayaan Peribadi-i Swasta eksklusif kepada kakitangan profesional

BANK RAKYAT kini menawarkan Pembiayaan Peribadi-i Swasta (Eksklusif) kepada kakitangan profesional daripada sektor swasta dengan amaun pembiayaan sehingga RM400,000 menerusi kadar pembiayaan yang kompetitif serendah 3.27% setahun.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, pelanggan yang melanggan produk pembiayaan ini dari 15 Mei sehingga 31 Oktober 2023 turut berpeluang untuk memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000 berupa baucar HABIB Jewels yang mana seramai lima orang pemenang bertuah akan dipilih setiap bulan sepanjang kempen ini berlangsung.

Golongan profesional berkenaan dengan gaji minimum sebanyak RM5,000 ke atas bagi jawatan tetap dan RM8,000 ke atas bagi jawatan kontrak layak untuk memohon pembiayaan ini dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.

“Sektor swasta dan GLC berperanan penting dalam membangun dan mempertahankan kemajuan sosioekonomi negara, termasuk dalam perkembangan model perniagaan inklusif yang menggalakkan pembabitan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian bekalan negara.

“Justeru, langkah proaktif Bank Rakyat dalam penyediaan produk Pembiayaan Peribadi-i khusus bagi kakitangan sektor ini adalah bertepatan dengan tonggak daya cipta, kesejahteraan dan kemampanan di bawah nilai Malaysia Madani yang dijangka dapat memacu pelbagai inisiatif Kerajaan melalui Bajet 2023,” ujar Bank Rakyat.

Selain menawarkan Pembiayaan Peribadi-i, Bank Rakyat turut menawarkan produk pembiayaan runcit patuh Syariah antaranya termasuklah Pembiayaan Kenderaan-i, Pembiayaan Perumahan-i dan Pembiayaan Pajak Gadai-i serta pembiayaan perniagaan seperti Pembiayaan Mikro-i dan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1300 80 5454 atau kunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran serta ikuti media sosial rasmi @mybankrakyat. – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat gandakan had Pembiayaan Peribadi-i kepada RM400,000