Monday, March 4, 2024

Bank Rakyat semarakkan Program Perpaduan Madani KPM, laksana pelbagai inisiatif di peringkat sekolah

BANK RAKYAT menyambut baik dan menyokong Program Perpaduan Madani peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi perangkaan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif melibatkan sekolah di seluruh negara.

Program Perpaduan Madani ini yang bertujuan untuk memupuk semangat  kepelbagaian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia bermula seawal peringkat prasekolah merupakan komitmen KPM dalam menyambut usaha Kerajaan menerusi Minggu Perpaduan Negara Tahun 2023 yang bertemakan  ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’.

Menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat kini sedang dalam perancangan bersama KPM bagi menganjurkan beberapa inisiatif untuk mendukung komitmen perpaduan yang diaspirasikan oleh KPM. Antaranya ialah Karnival Kelab Nuri Madani.

Karnival ini dijangka akan dianjurkan di beberapa lokasi di seluruh negara yang akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik. Untuk rekod, Bank Rakyat telah menganjurkan lima Karnival Kelab Nuri Ramadan pada April tempoh hari di lima buah sekolah berbeza iaitu Sekolah Menegah Sains Sabah, Sekolah Menengah Sains Selangor, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, MRSM Kuantan dan MRSM Langkawi.

Selain itu, Bank Rakyat dijangka akan mengadakan semula Pertandingan Choral Speaking Kelab Nuri Madani pada tahun ini yang bakal mengetengahkan topik perpaduan dalam kalangan pelajar. Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada dua program Choral Speaking yang dianjurkan oleh Bank Rakyat sebelum ini pada tahun 2018 dan 2019.

Penganjuran pertandingan Choral Speaking antara sekolah di seluruh negara ini bertujuan bagi memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan pelajar sekolah yang berbilang bangsa, sekali gus membantu pelajar meningkatkan tahap keyakinan untuk berkomunikasi.

Bank Rakyat juga bakal memperkenalkan program Saudagar Cilik Nuri sebagai salah sebuah inisiatif untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar. Bank Rakyat yang juga merupakan agensi di bawan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ingin memberikan pendedahan awal kepada pelajar selain menyediakan platform kepada mereka untuk meningkatkan daya cipta dan inovasi.

“Pelbagai penganjuran program di peringkat sekolah di seluruh negara ini merupakan platform dan peluang yang disediakan oleh Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang prihatin terhadap kesejahteraan dan kemampanan pelajar serta institusi pendidikan negara secara menyeluruh bertepatan dengan nilai Malaysia Madani,” ujar Bank Rakyat dalam satu kenyataan.

Selain itu, Bank Rakyat turut giat mempromosikan inisiatif Sekolah Tanpa Tunai bagi menyokong aspirasi Bank Negara Malaysia dalam memberikan penekanan tentang kepentingan celik kewangan sebagai kemahiran hidup terutama dalam kalangan pelajar. Sehingga kini, terdapat 26 buah sekolah serta lebih 13,000 orang pelajar yang terlibat dalam program Sekolah Tanpa Tunai anjuran Bank Rakyat.

“Inisiatif ini juga membuktikan komitmen Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang prihatin dalam membimbing serta membekalkan pelajar dengan pengetahuan untuk menguruskan aktiviti kewangan harian dengan berkesan dan bertanggungjawab agar mereka dapat menguruskan kewangan mereka dengan baik.” – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat tawar Pembiayaan Peribadi-i Swasta eksklusif kepada kakitangan profesional