Saturday, April 13, 2024

Bank Rakyat perkenal iSecure, ganti sistem TAC di aplikasi perbankan mudah alih iRakyat

BANK RAKYAT memperkenalkan ciri sekuriti baharu iaitu iSecure sebagai langkah memperkukuhkan sistem perbankan digitalnya serta melindungi pelanggannya daripada aktiviti penipuan kewangan dalam talian.

Mulai 30 Jun 2023, kaedah pengesahan digital iSecure akan menggantikan penggunaan kod pengesahan transaksi (TAC) yang mana pelanggan tidak lagi perlu mendapatkan kod tersebut melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk melakukan transaksi di aplikasi perbankan mudah alih iRakyat.

Menerusi iSecure, semua transaksi pelanggan boleh dibuat dengan pantas dan selamat dengan hanya satu klik di aplikasi perbankan mudah alih iRakyat menggunakan peranti tunggal yang berdaftar sahaja.

Sebagai langkah mempertingkatkan keselamatan dan menghalang pengesahan transaksi tanpa kebenaran, pelanggan yang pertama kali mendaftar iRakyat akan melalui ‘tempoh bertenang’ selama 12 jam sebelum melaksanakan transaksi.

Pada masa yang sama, Bank Rakyat turut memperkenalkan ciri sekuriti iLock yang membolehkan pelanggan menyahaktif akses di aplikasi perbankan mudah alih iRakyat serta menyekat semua transaksi dengan segera dan mudah bagi melindungi akaun simpanan mereka sekiranya terdapat transaksi yang mencurigakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, “Ciri sekuriti baharu ini merupakan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam mengutamakan keselamatan perbankan pelanggan khususnya bagi membendung penipuan kewangan dalam talian yang kian berleluasa.

Keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami. Justeru, Bank komited memenuhi keperluan pelanggan dengan memastikan piawaian keselamatan teknologi yang tinggi di samping mengekalkan perkhidmatan perbankan digital yang cekap kepada pelanggan,” ujar Dr. Mohammad Hanis.

Menurut beliau, inisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi Rangka Tindakan Pengalaman Pelanggan Terbaik dan Digitalisasi yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) selain menyokong saranan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mempertingkatkan sistem keselamatan perbankan serta kesedaran pelanggan terhadap modus operandi penipuan kewangan dalam talian.

Menerusi pengenalan ciri keselamatan baharu ini, Bank Rakyat menggalakkan pelanggan untuk memuat turun aplikasi perbankan mudah alih iRakyat sebelum 30 Jun 2023 bagi memastikan pengalaman perbankan yang lancar.  Selain itu, pelanggan juga perlu mempunyai telefon pintar mengikut spesifikasi yang ditetapkan iaitu Android 9.0 ke atas dan iOS 12.1 ke atas.

“Pelanggan juga harus sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah keselamatan seperti tidak berkongsi butiran peribadi dan maklumat perbankan, tidak memuat turun atau klik pada pautan tanpa usul periksa serta sentiasa mengemas kini peranti mudah alih dengan sistem pengendalian yang terkini,” tambah Dr. Mohammad Hanis.

Aplikasi perbankan mudah alih iRakyat menawarkan kemudahan serta keselesaan dalam mengakses akaun seperti membuat pembayaran secara efisien menggunakan kod DuitNow QR, pembayaran bil menerusi JomPAY, semakan baki akaun, pengurusan transaksi Tabung Haji serta pembayaran zakat, wakaf dan sumbangan di platform tersebut. Selain itu, pengurusan Kad Debit-i dan Kad Kredit-i seperti pengaktifan, penggantian serta sekatan kad juga boleh dilakukan.

Untuk maklumat lanjut mengenai ciri sekuriti baharu ini, layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my atau hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1300- 0-5454 dan kunjungi cawangan yang berhampiran serta ikuti media sosial rasmi @mybankrakyat. – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat diiktiraf jenama paling pesat berkembang di Malaysia