Tuesday, March 5, 2024

Bank Rakyat santuni golongan yang memerlukan sempena Aidiladha

BANK RAKYAT menyantuni golongan yang memerlukan menerusi program Fitrah Aidiladha yang melibatkan agihan sebanyak 7,938 pek daging korban di lapan lokasi di seluruh negara.

Agihan daging korban ini dilakukan dengan kerjasama rakan strategik iaitu Jabatan Arah Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT), Melaka International College of Science and Technology (MiCoST), Majlis Perbandaran Muar, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Majlis Perbandaran Kemaman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Koperasi Perumahan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi dan Menara Kembar Bank Rakyat (MKBR) bermula pada 3 Julai hingga 15 Julai 2023.

Agihan daging daripada 126 ekor lembu iaitu 882 bahagian lembu dan 226 ekor kambing dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM888,880 itu disumbangkan oleh pelanggan Bank Rakyat melalui langganan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan juga oleh Surau Al-Barakah yang turut menguruskan ibadah korban tersebut.

Penerima daging korban ini terdiri daripada golongan asnaf, rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas, pesakit HIV, pusat tahfiz dan sekolah agama.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, Akaun Simpanan-i Tabung Qurban ini membantu pelanggan untuk melakukan simpanan yang lebih sistematik selain menyediakan perkhidmatan ibadah korban yang lebih terjamin dan selamat di dalam dan luar negara.

“Penyertaan ibadah korban juga boleh dilaksanakan melalui SMS yang dihantar oleh Bank Rakyat kepada pelanggan dengan simpanan yang telah mencapai harga minimum korban semasa” tambah beliau.

Menurutnya, program yang dijalankan ini merupakan inisiatif jangkauan komuniti berterusan Bank Rakyat bagi berkongsi rezeki serta membantu meringankan beban golongan yang memerlukan ketika musim perayaan ini.

Tambah beliau, inisiatif pelaksanaan ibadah korban ini hampir mencecah RM3 juta sejak dianjurkan sejak tahun 2020 yang mana telah memberikan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Di samping itu, Bank Rakyat juga menyumbang sebanyak RM10,000 kepada 50 orang asnaf yang menerima RM200 setiap seorang serta keperluan asas seperti beras dan minyak masak di setiap lokasi agihan daging korban.

Selain itu, Bank Rakyat turut memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada setiap institusi yang bekerjasama dalam menjayakan Majlis Fitrah Aidiladha 2023 bagi tujuan pengimarahan masjid, surau dan pusat Islam.

Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan dan ihsan Bank Rakyat terhadap kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat selari dengan konsep Malaysia Madani.

Pelanggan yang berminat melanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban boleh mengunjungi Cawangan Bank Rakyat yang terdekat atau menghubungi 1300805454 dan layari atau laman sesawang www.bankrakyat.com.my untuk maklumat lanjut.