Tuesday, February 27, 2024

Jadilah artis berilmu, bukan DUNGU!

LAIN padang, lain belalang. Lain orang berbeza pandangannya. Inilah hakikat yang mana pandangan seseorang itu terhadap akademik adalah berbeza.

Ada ibu bapa yang tidak begitu menggalakkan anak-anak menuntut ilmu sehingga ke Menara gading.

Alasan yang diberi, tidak semestinya belajar tinggi-tinggi, Berjaya dalam hidup sedangkan konotasi itu membawa pengertian yang berbeza.

Ilmu atau akademi itu sebenarnya penting supaya apabila dewasa, tidaklah bodoh bertingkat-tingkat.

Bagaimanapun, jika ilmu yang dituntut itu dan anak pula seorang yang pandai dalam pelajaran, janganlah dia jadi umpama bodoh tak boleh diajar, cerdik tak boleh ditumpang.

Ini kerana ego dan rasa besar kepala mengatasi segala-galanya dan apatah lagi merasakan diri sudah besar panjang dan mampu membuat keputusan sendiri dalam hidup.

Tidak menyusahkan orang lain, tidak mengapa tetapi kalau terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata-kata, buruk padanya.

Ada juga kalangan bapa yang tidak membenarkan anak perempuannya belajar sehingga ke menara gading.

“Buat apa belajar tinggi-tinggi, nanti susah nak cari laki dan dah kawhin nanti, duduk dapur juga. Jaga anak, jaga laki,” itulah kata-kata yang dilontarkan oleh si bapa apabila tidak mahu anak perempuannya menjejakkan kaki ke universiti.

Kenyataan sang bapa seperti itu umpama kita ini hidup di zaman jahiliyah. Anak perempuan ditanam hidup-hidup tetapi tahun 2023, anak perempuan dikuburkan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Mungkin ini sekadar contoh terpencil yang ada dalam kalangan kehidupan kita hari ini. Cuma sebagai ibu bapa, pasti kita mahukan yang terbaik buat anak-anak.

Kalau dengan tidak belajar sehingga ke menara gading adalah jalan terbaik pilihan sang bapa berkenaan, okay sahaja kerana dunia hari ini, segalanya mungkin.

Bagi pelakon yang masih mentah usianya, baharu 14 tahun, Qistina Raisah, dia memiliki seraut wajah yang cantik.

Sayangnya cantik fizikal tidak akan berkekalan melainkan mempunyai ilmu pengetahuan dalam dada.

Bukan sesuatu yang membanggakan kalau dibuang sekolah sejak berusia tujuh tahun. Malu sebenarnya kerana rakan-rakan seusia, berada di bangku sekolah dan belajar tentang ilmu dan hukum alam serta kehidupan.

Mempunyai akademik atau Pendidikan sekular boleh diseimbangkan dengan didikan agama dan bukannya terlalu mengikut tawaran demi tawaran lakonan yang diterima.

Kalau dapat tawaran modelling, ya memang benar itu semua boleh menjana pendapatan tetapi dalam usia yang masih mentah, apakah tidak terfikir untuk menuntut ilmu?

Bagi ibu bapa yang berkemampuan, boleh sahaja mencari guru untuk home schooling atau belajar dari rumah.

Akan tetapi suasana atau persekitaran di sekolah itu amat jauh bezanya dengan home schooling. Tiada rakan sebaya duduk di sebelah untuk ‘diusik’ atau ‘disakat’ kerana pengalaman itu hanya akan ada jika anak itu duduk di bangku dalam bilik darjah dan di sekolah!

Mungkin hari ini Qistina tidak terasa ‘bodoh’ kerana tidak ke sekolah dan menumpukan kepada kerja sebagai pelakon tetapi jangan sampai tiba satu peringkat usia, menyesal kerana membesar tidak seperti rakan sebaya yang lain.

Berlakon dan menjadi anak seni ini sebenarnya melalaikan sekiranya tidak bijak dalam membuat percaturan hidup dan kewangan.

Selagi laku, selagi ada tawaran berlakon, selagi muda, selagi itulah diberi tawaran dan duit masuk mencurah-curah.

Selepas dimamah usia, ilmu Pendidikan itulah yang akan menjadi pendamping diri untuk menitit sebuah kehidupan.

Eloklah fikir semasak-masaknya kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian, tidak berguna.

Selain Qistina, ada juga anak-anak artis yang menjadi anak seni dan home schooling. Dalam bidang akademi, mereka ini tidak ketinggalan dan lebih cerdik lagi, tidak dicanang kepada media bahaya anak si polan itu home schooling.

Itulah sebabnya kalau merasakan diri itu serba lengkap, serba tahu, ada terselit juga kebodohannya. – REFLEKS