Thursday, July 25, 2024

280 orang dari kumpulan pertama jemaah haji Malaysia kembali ke tanah air

280 orang dari kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.10 malam tadi.

Mereka adalah jemaah haji dari Kedah dan Kelantan yang berlepas daripada Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah pada jam 6.40 pagi (waktu Arab Saudi) dengan penerbangan AMAL Malaysia Airlines.

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussin dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Mohd Na’im bersyukur dan berpuas hati dengan komitmen TH dalam memastikan kelancaran proses urusan haji tahun ini.

Katanya, walaupun menghadapi beberapa keadaan yang mencabar seperti cuaca panas terik, namun semua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, teratur dan mempamerkan tahap disiplin tinggi.

“Setakat hari ini seramai 18 jemaah Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci disebabkan serangan jantung dan jangkitan kuman dan tiada seorang pun yang mengalami strok haba,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, TH juga sudah melaksanakan badal haji secara percuma kepada lapan jemaah yang meninggal dunia sebelum sempat melakukan wukuf di Arafah.

Menurutnya, kesungguhan dipamerkan oleh TH ini terbukti dengan pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi melalui Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan buat kali ketiga berturut-turut.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan, Syed Hamadah dalam kenyataan berkata, TH akan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah negara dan membuat penilaian teliti bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pada musim haji akan datang.

Menurutnya, matlamat dan objektif yang digariskan untuk operasi haji kali ini telah berjaya dicapai antaranya TH telah membantu menyelaras supaya hampir kesemua jemaah haji dapat melaksanakan wuquf di Arafah pada 9 Zulhijjah.

Katanya, seramai 71 jemaah haji yang mengalami masalah kesihatan dan terlantar di Pusat Rawatan TH turut dibawa berwuquf di Arafah menggunakan lapan buah bas yang diubahsuai melalui program Safari Wuquf supaya mereka dapat menyempurnakan rukun haji yang kedua itu.

“TH komited dalam memastikan keselesaan dan keselamatan para jemaah terjamin sepanjang melaksanakan ibadah haji dan atas beberapa pembaharuan serta inisiatif yang diadakan telah memungkinkan operasi haji kali ini berjalan dengan lancar dengan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Baca ini > 5,790 jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci