Monday, March 4, 2024

Erdogan kemuka cadangan Malaysia dan Turkiye jalin kerjasama dua hala atasi isu Islamofobia, yakin keupayaan benteng Malaysia hadapi serangan Barat

PUTRAJAYA – Presiden Recep Tayyip Erdogan mencadangkan agar Malaysia dan Turkiye mencari jalan penyelesaian serta menjalin kerjasama dua hala dalam menangani isu Islamofobia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Erdogan memaklumkan sendiri perkara itu kepada beliau ketika mereka bercakap di telefon pada tiga hari lepas.

“Beliau cadangkan kami berdua cari jalan untuk tingkatkan usaha jadi benteng melawan serangan Islamofobia, beliau tak suruh PAS, dia lagi tak kenal siapa Presiden Bersatu.

“Dia cadang kita buat, jadi saya kata boleh, saya minta dia siapkan jentera, cadangan dan beliau minta jumpa saya di New York ketika Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dijadualkan pada September ini, “ katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan MADANI Negeri Sembilan di sini pada malam Selasa.

Perdana Menteri berkata, ini berikutan nama Malaysia diangkat kedudukannya di mata dunia dan yakin dengan keupayaan negara untuk turut serta dan menjadi benteng serangan Barat termasuk dalam isu pembakaran al-Quran.

Beliau berkata Malaysia bersikap tegas dalam perkara itu selain tidak mengizinkan penghinaan ke atas mana-mana agama dalam negara.

“Apa kita buat (dalam kes pembakaran al-Quran), yang pertama, kita bantah… Kita arahkan sejuta naskhah al-Quran kita diedar ke seluruh dunia dan 15,000 naskhah dalam Bahasa Sweden kita hantar ke Sweden, itu cara kita balas (perbuatan membakar al-Quran) kepada mereka,” katanya.

Anwar turut berkata, tempoh kempen PRN yang melibatkan kerjasama PH serta UMNO dan kini memasuki babak akhir merupakan percubaan baharu bagi menguatkan semangat perpaduan demi menyelamatkan negara serta mengangkat semula Malaysia sebagai negara hebat di mata dunia.

“Dalam rundingan antara PH dan UMNO, kita putuskan hormati prinsip Perlembagaan, PH setuju UMNO lebih lagilah, kita nak selamatkan negara ini dan membawa perubahan

“Kalau nak angkat martabat orang Melayu dan lain-lain, kita harus jadikan Malaysia negara ulung di Asia Tenggara.

“Kita kena anjak cara lama kepada cara baharu, dan ini yang kita sedang lakukan sekarang,” katanya yang turut menyeru pengundi memilih calon daripada parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan agar kaum lain tidak diketepikan oleh mana-mana pihak.

Sumber putrajayatimes.com