Tuesday, February 27, 2024

Guru KAFA angkat, hempas atas kerusi kayu murid 9 tahun hingga patah kaki

TERGAMAK seorang yang dipanggil Cikgu oleh murid-murid yang berusia sembilan tahun mengangkat dan menghempas mangsa ke atas kerusi kayu sehingga patah kaki murid tersebut.

Apakah yang bermain dalam fikiran dan hati Cikgu kelas agama dan fardu ain (KAFA) yang berusia 37 tahun ini sehingga tergamak mencederakan anak muridnya sendiri.

Budak lelaki darjah tiga pasti tidak berdaya melawan Cikgu yang melakukan perbuatan itu terhadap dirinya.

Tidak dapat membayangkan betapa sakitnya mangsa yang dihempas ke atas kerusi kayu oleh Cikgu yang tidak berhati perut ini.

Andai kata murid itu nakal, jika pelajaran yang diajar agak sukar untuk murid itu ‘tangkap’ tidak perlulah Cikgu memperlakukan sebegitu kasar terhadap muridnya.

Mengaku tidak bersalah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang, Terengganu, cikgu bernama Ahmad Mursyidin Abdullah membuat kenyataan itu setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Umpama anjing yang berak di tepi jalan, tentulah tertuduh tidak mengaku perbuatan yang dilakukan ke atas mangsa.

Dalam kes seperti ini, tertanya-tanya adakah Cikgu itu menghadapi masalah tekanan sebagai seorang guru.

Kalau ya, jangan dilepaskan kepada murid-murid sebaliknya cikgu juga boleh mendapatkan bantuan kaunseling.

Jangan jiwa kacau dan memaksa diri mengajar kerana itu tidak ikhlas dan didikan apakah yang mahu dibuat oleh seorang guru terhadap murid-muridnya.

Profession perguruan sentiasa dipandang mulia dan seorang guru itu sememangnya dihormati tetapi apabila Cikgu KAFA membuat onak, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Mahkamah menetapkan kes sebutan semula pada 17 November ini. – REFLEKS