Saturday, April 13, 2024

Dengan nenek pun nak sound ke

MEMANG tak boleh nak brain! Kejadian yang berlaku depan mata masih terbayang-bayang dan sepatutnya tidak berlaku kerana kita rakyat Malaysia, masyarakat yang bersopan santun.

Seolah-olah sudah hilang nilai-nilai dan norma-norma tatasusila masyarakat majmuk atau Keluarga Malaysia, sedih melihat seorang lelaki bermotosikal memarahi seorang pemandu kereta yang kelihatan seperti usia seorang nenek.

Penunggang motosikal itu tidak berpuas hati terhadap nenek yang memandu kereta mungkin kerana cara pemanduan nenek tersebut yang agak perlahan sambil mencari-cari tempat untuk memberrhentikan kenderaan yang dipandunya.

Kalau benarlah telahan berkaitan dengan kejadian itu, penunggang motosikal tersebut tidak perlulah bersikap seperti GANGSTER KAMPUNG DUSUN.

Jangan jadi gangster taik kucing! Cakap baik-baik dengan nenek itu dan nasihatkan nenek itu supaya lebih berhati-hati apabila memandu.

Memang negara kita tidak mengehadkan umur pemandu kereta persendirian. Dan rasanya nenek itu pun memandu dekat-dekat sahaja atau sekitar kawasan tempat tinggalnya.

Seelok-eloknya, pemandu warga emas apabila memandu kereta, jangan terlalu perlahan kerana ia menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya yang lain.

Pandu cermat, bukan sahaja jiwa selamat tetapi poket juga selamat! – REFLEKS