
BUKAN satu tapi lima pertuduhan melakukan perbuatan amang seksual ke atas dua remaja lelaki, masing-masing berusia 16 tahun 10 bulan dan 17 tahun yang pastinya meninggalkan trauma dalam diri kedua-dua mangsa.
Pelakunya, seorang yang pernah tampil dalam pertandingan realiti televisyen menerusi program bersifat keagamaan.
Program itu, Pencetus Ummah (PU) menjadi platform kepada bekas pesertanya, Azman Syah Alias untuk bukan sahaja mencipta nama dan mencari rezeki tetapi sebaliknya pula yang berlaku kerana dia mencemarkan nama-nama ustaz-ustaz yang berdakwah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua mangsa lelaki pada Februari dan Julai lalu.
Lebih manis jika tertuduh yang berusia 41 tahun itu tidak menggunakan istilah PU di hadapan namanya membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan di hadapan Hakim Surita Budin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Azman didakwa atas tiga pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa, 17 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah beralamat di Taman Tiara Sendayan, Nilai.
Kejadian pada 6 Julai 2022 berlaku antara pukul 3 pagi sehingga 5 pagi.
Azman juga dituduh dengan dua lagi pertuduhan melakukan perbuatan yang sama terhadap mangsa berusia 16 tahun 10 bulan pada tarikh dan tahun yang sama.
Sekali lagi tertuduh melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang sama pada 5 Februari 2022 antara pukul 8.30 malam sehingga 12 tengah malam.
Dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, jika sabit kesalahan, Azman boleh dikenakan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan. – REFLEKS