Monodrama Kara adalah satu bentuk teater yang memerlukan seorang pelakon memainkan pelbagai watak dan perasaan berdasarkan satu skrip yang lengkap.
Dalam erti kata lain, monodrama bukanlah jenis teater pendek berdurasi di bawah 3 minit dan di Malaysia, tidak ramai pelakon berjaya menguasai permainan ini.
Namun bagi Adam Lee, biar pun sering muncul di kaca TV sebagai pelakon komersil bagi drama-drama tempatan, jejaka ini masih ‘ghairah’ bermain teater.
Selain Adam Lee, aktivis lagenda yang diangkat sebagai Pemuisi Kuala Lumpur oleh GAPENA, Sani Sudin turut beraksi di pentas yang sama.
Tentang Tema ‘Kara’
Bercakap tentang tema ‘Kara’ yang diangkat dalam monodrama ini, Persatuan Pemuisi Malaysia (PPM) mengesahkan ia hanya melibatkan seorang pemain.
“Monodrama ‘Kara’ ini berkonsep seorang diri dan beberapa pelakon telah dipilih berdasarkan latar belakang dan penglibatan mereka dalam monodrama.
“Setiap pelakon akan mementaskan skrip monodrama yang berbeza serta lengkap dari segi struktur dramatik, konflik serta peleraiannya tersendiri,” ujar PPM.
Kata PPM lagi, gaya lakonan monodrama adlaah berbeza kerana ia perlu dilakonkan oleh seorang pelakon yang membawa satu atau lebih watak dalam sesebuah naskah.

“Proses pertukaran watak ke watak yang lain inilah yang akan benar-benar menguji
kemahiran dan kekuatan pelakon kerana ia perlu dilakukan dengan pantas.
“Sesungguhnya pementasan monodrama ini wajar dilaksanakan sebagai salah satu usaha menyemarakkan aktiviti kesenian di dalam Malaysia,” kata PPM.
Selain itu, PPM juga berpendapat monodrama perlu diperkenalkan kepada khalayak ramai di samping dapat dijadikan rujukan kepada generasi pelakon baharu yang akan datang.
Barisan Pelakon Monodrama ‘Kara’
Monodrama Kara berlangsung selama dua hari iaitu pada 26 serta 27 Ogos 2023 di Panggung Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 8.30 malam.
Selain masuk adalah percuma, orang ramai berpeluang untuk menyaksikan banyak lagi nama besar turut beraksi di pentas yang sama.
Selain Adam Lee dan Sani Sudin, mereka adalah Sabri Yunus, Fazreen Muhd, Lin Haslinaz, Mardiana, Jay Iswazir dan Juwita Rosli.
Ingin promosikan sebarang acara yang anda anjurkan? Emel ke [email protected]!