Tuesday, March 5, 2024

Hadiah keseluruhan RM5.8 juta menanti pelanggan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat

BANK RAKYAT kini menawarkan hadiah lumayan berjumlah keseluruhan RM5.8 juta kepada pelanggan bertuah yang melanggan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bermula awal Ogos lalu sehingga Januari 2025.

Produk pelaburan ini mula diperkenalkan pada Julai 2022 dengan pelaburan minimum serendah RM100 dan baki minimum akaun serendah RM50 serta anggaran pulangan pelaburan yang kompetitif.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman dalam satu kenyataan berkata, peningkatan jumlah keseluruhan hadiah kepada RM5.8 juta berbanding RM1 juta yang ditawarkan sebelum ini adalah sebagai tanda penghargaan Bank Rakyat kepada pelanggan menjelang ulang tahunnya yang ke-69 pada 28 September ini, di samping bagi memastikan lebih ramai lagi pelanggan berpeluang memenangi kategori cabutan bertuah yang diadakan sepanjang tempoh berkenaan.

“Menerusi tawaran ini, pemegang Akaun Pelaburan-i Rizq Plus sama ada pelanggan baharu atau sedia ada akan berpeluang untuk memenangi tujuh kategori cabutan termasuk cabutan bulanan (kategori umum dan peringkat negeri), suku tahun, setengah tahun, cabutan ulang tahun Bank Rakyat, cabutan perayaan khas, cabutan hadiah utama dan pelbagai cabutan istimewa.

“Selain daripada hadiah wang tunai, pelanggan turut berpeluang untuk membawa pulang hadiah emas serta peratusan keuntungan dividen saham yang diisytiharkan selama lima tahun berdasarkan nilai saham berjumlah sehingga RM100,000,” ujar beliau.

Mengulas mengenai sambutan yang memberangsangkan terhadap produk berkenaan, Dr. Mohammad Hanis berkata, sejak diperkenalkan tahun lalu hampir 20,000 pemegang Akaun Pelaburan-i Rizq Plus telah didaftarkan dengan jumlah pelaburan lebih RM90 juta.

Sepanjang tempoh tersebut, hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1 juta telah diserahkan kepada seramai 1,513 pemenang bertuah. Berdasarkan jumlah pegangan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus terkini, pelanggan memiliki peluang yang lebih tinggi untuk memenangi hadiah yang ditawarkan.

Sementara itu, Dr. Mohammad Hanis turut menyeru orang ramai untuk merebut peluang ini bagi mewujudkan portfolio pelaburan berasingan sebagai simpanan sokongan dan saluran pendapatan alternatif serta bukan hanya bergantung pada caruman wajib skim persaraan sedia ada sahaja.

“Pembangunan produk pelaburan ini melambangkan keprihatinan dan komitmen Bank Rakyat dalam mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran sosioekonomi masyarakat secara holistik yang mana amat bertepatan dengan nilai Malaysia Madani,” tambah beliau.

Pelanggan yang berminat boleh mendapatkan maklumat berhubung Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menerusi laman web dan media sosial rasmi Bank Rakyat atau menghubungi Pusat Panggilan di talian 1-300-80-5454 serta mengunjungi cawangan yang berdekatan. – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat komited perkasa usahawan asnaf menerusi Program RAKYATpreneur dan UNIpreneur