Monday, March 4, 2024

Faizal Tahir Beraksi Di Taman Tasik Danau Kota Sempena Hari Malaysia

Penyanyi popular tanah air, Faizal Tahir akan beraksi di Taman Tasik Danau Kota sempena meraikan Hari Malaysia bagi Parlimen Wangsa Maju.

Selain Faizal Tahir, selebriti berbilang bangsa seperti Santesh, Danny Koo dan Dukes turut bersama dalam program Malaysia Kita Punya.

Menurut jurucakap program, Malaysia Kita Punya akan berlangsung bermula pukul 4.30 petang sehingga pukul 11.30 malam.

“Program pada sebelah petang akan dimulai dengan pertandingan mewarna kanak-kanak serta pertandingan permainan tradisional.

Tentatif Program Malaysia Kita Punya
Tentatif Program Malaysia Kita Punya

“Pada sebelah malam, Malaysia Kita Punya menyajikan konsert mini yang dibarisi artis jemputan tanah air termasuk sebuah band baharu, Dukes,” katanya.

Bagi penganjur, Malaysia Kita Punya bukan sekadar program komuniti malah bersifat one-stop center bagi penduduk Wangsa Maju.

“Dalam program itu, penduduk Wangsa Maju disarankan untuk mengambil pelekat kenderaan dari kaunter pendaftaran yang dikelola urusetia.

“Dengan pelekat kenderaan tersebut, penduduk Wangsa Maju berpeluang untuk menerima banyak manfaat komuniti pada masa akan datang,” katanya.

Malaysia Kita Punya adalah program sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Taman Tasik Danau Kota, Kuala Lumpur
Malaysia Kita Punya adalah program sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Taman Tasik Danau Kota, Kuala Lumpur

Bagi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ts Zahir Hassan, program Malaysia Kita Punya yang akan berlangsung bukan konsert semata-mata.

“Ia juga merupakan penutup kepada program sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, Wangsa Maju Kita Punya yang dilancarkan pada 19 Ogos lepas,” katanya.

Selain menikmati persembahan hebat daripada selebriti jemputan, pengunjung turut berpeluang untuk menyaksikan pertunjukan bunga api pada kemuncaknya.