Saturday, April 13, 2024

Bank Rakyat terbit Sukuk Wakalah Senior bernilai RM1 bilion

BANK RAKYAT menerbitkan RM1 bilion Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) Sukuk Wakalah melalui syarikat tujuan khas (SPV) Imtiaz Sukuk II Berhad.

Terbitan ini dilaksanakan menerusi proses penetapan harga pada 13 September 2023 di bawah Program Sukuk Wakalah Senior sehingga RM10 bilion yang diberikan penarafan AA2 oleh RAM Rating Services Berhad.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, terbitan tersebut merangkumi dua bahagian iaitu RM300 juta untuk tempoh tiga tahun dan RM700 juta untuk tempoh lima tahun. Bank Rakyat juga berjaya memperoleh permintaan yang menggalakkan bagi Sukuk Wakalah Senior dengan bidaan sebanyak 2.11 kali daripada jumlah terbitan sebenar.

Jumlah terkumpul daripada terbitan Sukuk Wakalah Senior berkenaan akan dimanfaatkan oleh Bank Rakyat bagi tujuan perbankan patuh Syariah termasuk keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan umum, menyediakan pembiayaan dan tujuan korporat am.

Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad telah dilantik sebagai pengurus utama bersama bagi terbitan program Sukuk Wakalah tersebut. – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat diiktiraf jenama paling pesat berkembang di Malaysia