Tuesday, February 27, 2024

Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang didukung kuat PT. Dua Anak Deo (DAD)

Ramai yang teruja dengan persembahan Judika, Rockmantic Night Judika And The Gang yang  berlangsung pada 21 Oktober 2023, baru-baru ini, bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang selama dua jam setengah, walaupun telah berlalu namun ia merupakan sebuah konsert yang berkualiti dan menjadikannya sebagai satu persembahan yang gilang gemilang.

OM HENDRA bersama Judika

Siapa sangka, ‘meletup’ pyrotechnic sebagai tanda bermulanya konsert, grand entrance Judika menunggang motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson masuk ke pentas. Segak sungguh Judika yang memakai jaket dan celana kulit berwarna hitam.

Deruman enjin Harley Davidson memecah ruang udara dengan sambutan sorakan daripada audiens yang hadir menonton Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang.

Malam yang meninggalkan seribu satu kenangan manis buat para peminat tegar Judika yang datang dari segala pelusuk tanah air termasuk dari negara Brunei, Singapura dan Indonesia sebenarnya didukung oleh  tenaga produksi yang amat kukuh.

Ini kerana kerja berpasukan atau team work daripada pihak pengurusan P. T Dua Anak Deo (DAD) dan produksi harus diberi pujian. Pasukan ini mampu menterjemahkan sebuah persembahan konsert dalam erti kata sebenar, bukan persembahan yang biasa-biasa.

Kehadiran Judika menunggang Harley Davidson di atas pentas disulami dengan limpahan cahaya lampu LED warna warni, berputar dan berpusing, memberi efek atau kesan yang sangat cantik lagi menarik.

Penataan lampu atau cahaya yang cantik itu telah membangkitkan suasana atau mood yang sukar untuk digambarkan melalui kata-kata kerana lebih 12,000 penonton yang hadir memenuhi ruang tempat duduk di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari mana dari awal sehingga akhir konsert, mereka menyanyi bersama-sama sepanjang persembahan Judika.

Konsert ini sebenarnya turut mencatat sejarah tersendiri bagi Judika yang bersuara emas kerana beliau berjaya memberikan satu persembahan konsert berskala besar  yang turut melibatkan artis-artis DAD iaitu Axin, Dnanda dan Daniel buat pertama kalinya di Kuala Lumpur.

Konsert Judika ini turut melibatkan artis-artis Malaysia iaitu Marsha Milan, Haqiem Rusli, Shila Amzah serta orkestra yang didukungi oleh Tohpati yang bertindak sebagai Pengarah Muzik dan arranger,  para pemuzik, koir, penari dan krew dari Malaysia yang mencapai hampir 300 orang.

Konsert yang menelan belanja jutaan ringgit itu sebenarnya sebuah konsert yang menempuh perjalanan onak dan duri dan bukan mudah untuk direalisasikan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DAD, HM Hendra Saputra atau lebih mesra dengan panggilan Om Hendra, beliau bersyukur kerana Judika yang merupakan artis di bawah payung DAD berjaya membuat satu persembahan yang menghiburkan para peminatnya.

“DAD bukan sahaja tampil dengan idea dan konsep konsert tetapi juga pihak kami komited mencurahkan tenaga, masa dan kos dalam membuat persiapan persembahan dari awal hingga akhir.

“Bagi saya, Konsert Judika mengukuhkan ikatan silaturahim di antara artis dua negara iaitu Indonesia dengan pembabitan artis dari Malaysia,” katanya

Mengimbau kembali perjalanan awal sebelum Konsert Rockmantic Night Judika and The Gang, DAD, kata Om Hendra ditawarkan untuk bekerjasama atau bertindak sebagai penganjur bersama disebabkan oleh kemampuan dan kekukuhan DAD dari aspek reputasi dan kewangan.

Beliau berkata, sekitar bulan April dan Mei, persiapan sudah dimulakan oleh pihak DAD kerana sebagai Pengurus Besar kepada Judika, Om Hendra juga mahu melihat konsert Judika suatu yang sukses.

“Kos ditanggung oleh DAD termasuk bayaran untuk artis-artis Malaysia yang turut menjayakan konsert tersebut.

“Pihak penganjur berkenaan meminta saya mengeluarkan kos awal yang mana sejumlah wang telah dimasukkan ke dalam akaun pihak tersebut pada April 2023.

“Kalau dikira, kos awal dan kos promosi adalah yang paling tinggi. Dalam sekitar bulan Mei, saya dimaklumkan bayaran pendahuluan untuk beberapa pihak daripada Malaysia, masih belum dibayar. Bayaran hanya dilunaskan oleh pihak penganjur yang berkenaan sekitar Jun.

“Sedangkan DAD telahpun terlebih awal mengeluarkan kos untuk bayaran awal artis-artis, tempat acara dan sebagainya,” kata Om Hendra.

Kata Om Hendra lagi, bayaran pertama daripada penaja juga telah dibuat kepada rakan penganjur berkenaan sebelum berlangsungnya promosi konsert.

JUDIKA artis di bawah naungan DAD.

Akan tetapi apabila ada khabar yang tidak enak dihalwa telinga, Om Hendra berkata, beliau terpaksa bertindak membuat siasatan bagi mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku.

Katanya, apabila pihak DAD meminta penyata bank dan dokumen yang tidak lengkap daripada rakan penganjur bersama untuk memastikan bayaran-bayaran telah dilunaskan, permintaan DAD tidak dilayan.

Kata Om Hendra, sebelum berlangsungnya Konsert Judika, selama sebulan beliau terpaksa memendam rasa kerana DAD bertanggungjawab menguruskan konsert Judika.

Oleh itu, kata Om Hendra, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Tambah beliau, apatah lagi konsert Judika itu diadakan di Malaysia, negara jiran yang selama ini mempunyai hubungan dua hala yang baik.

Om Hendra juga berkata, sewaktu sidang akhbar bagi mengumumkan tentang Konsert Rockmantic Night Judika and The Gang di Pavillion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 17 Julai 2023, nama DAD seolah-olah tenggelam.

“Bagaimanapun, nama penganjur berkenaan dan penaja sahaja yang diketengahkan sedangkan pihak yang dipertanggungjawabkan adalah DAD,” kata Om Hendra.

Kata Om Hendra lagi, usai promosi dan sidang akhbar Konsert Rockmantic Night Judika and The Gang pada 17 Julai lalu, beliau tidak menafikan menerima panggilan daripada banyak pihak yang bertanyakan tentang bayaran sedangkan semua itu telah dibayar kepada penganjur berkenaan.

“Saya tidak suka jika ada bayaran yang tertunda dan kalau begitu jadinya, reputasi Judika tercemar,” jelas Om Hendra.

Sehubungan itu, Om Hendra berkata, mana-mana penganjur acara atau event organiser dari Indonesia yang mahu berkolaborasi atau bekerjasama (joint venture) dengan penganjur acara di Malaysia, perlu mengambil iktibar daripada apa yang dilalui oleh DAD.

“Ia satu pengalaman yang menjadi satu pengajaran buat kita semua kerana sebagai penganjur acara, biarlah telus.

“Jangan berbuat sesuatu yang boleh mencalarkan dan menjejaskan reputasi mana-mana pihak ,” kata Om Hendra sambil menambah, DAD juga milik Judika.

Bagi DAD, Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang, kata Om Hendra, adalah satu persembahan yang amat membanggakan.

“Dalam sebuah konsert, sound atau bunyi memainkan peranan utama kerana kita mahu mendengar yang berkualitas.

“Di Konsert Judika, itu yang DAD berikan dan kita dapat lihat dan merasa, hadirin atau audiens mengagumi kualitas bunyi yang didengari.

“Ditambah pula dengan pyrotechnic di awal, tengah dan akhir persembahan, penonton langsung tidak merasa bosan sepanjang menonton konsert Judika,” ujar Om Hendra.

Konsep dan idea Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang datangnya dari DAD dan kata Om Hendra, adanya elemen-elemen kejutan yang ditampilkan di atas pentas sememangnya meninggalkan kenangan yang amat manis di hati para peminat dan hadirin yang menonton konsert ini.

“Di atas pentas, elemen kejutan untuk anak perempuan Judika yang menyambut hari ulang tahunnya, juga ada dan syukur sambutan hari ulang tahun si cilik ini diraikan dengan seluruh peminat Judika, ” kata Om Hendra.

Jualan tiket yang sangat memberangsangkan bagi Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang yang mana dalam tempoh satu hari sahaja, semua tiket konsert habis dijual, DAD mendapat suntikan semangat dan kata Om Hendra, pihaknya berbesar hati kerana berjaya menghasilkan produksi konsert berskala besar Judika yang meninggalkan momen terindah di hati setiap peminat yang hadir pada 21 Oktober lalu. – REFLEKS