Monday, March 4, 2024

Kraftangan Malaysia raikan 115 graduan sempena Istiadat Konvokesyen Ke-21 Institut Kraf Negara

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia hari ini mengadakan Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-21 bertempat di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Istiadat Konvokesyen ini merupakan pengiktirafan ke atas kejayaan para graduan yang telah menamatkan pengajian dalam bidang kraf bagi sesi 2022/2023.

Istiadat Konvokesyen disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman mewakili dan membacakan teks ucapan istiadat konvokesyen Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Istiadat Konvokesyen kali ini, melibatkan seramai 115 orang graduan meliputi 72 orang graduan daripada Program Diploma Seni Kraf, 8 orang graduan Program Sijil Seni Kraf dan 27 orang graduan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Seni Kraf Batik, Seni Kraf Tenunan, Seni Kraf Seramik, Seni Kraf Kayu, Seni Kraf Logam serta Seni Kraf Rotan. Selain itu, seramai 8 orang graduan daripada Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam turut menerima Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

Bermula tahun 2001 sehingga 2022, Institut Kraf Negara telah melahirkan seramai 2,892 graduan melalui kampus utamanya di Rawang dan empat lagi Kampus Satelit di Inanam dan Kota Belud, Sabah serta Kampus Satelit di Kuching dan Betong, Sarawak. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,634 orang atau 57 peratus merupakan graduan peringkat diploma manakala 1,210 orang atau 43 peratus graduan peringkat sijil dan 48 orang merupakan graduan peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Kejayaan alumni IKN sebelum ini berjaya menjadi job creator (pencipta pekerjaan) dalam industri kraf dengan membina perniagaan dan membuka peluang pekerjaan kepada individu yang lain. Data Pengesanan Graduan IKN juga menunjukkan 82 peratus atau seramai 2,381 orang graduan berjaya menembusi pasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang sejak tahun 2001.

Istiadat konvokesyen kali ini turut memberikan penghargaan dan anugerah kepada graduan terbaik seperti berikut:

  1. Pelajar Terbaik Diploma Seni Kraf (6 orang);
  2. Pelajar Terbaik Sijil Seni Kraf (2 orang);
  3. Pelajar Terbaik Sijil Kemahiran Malaysia (6 orang); dan
  4. Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan – Diploma / Sijil / SKM (3 orang).

Semasa istiadat konvokesyen ini berlangsung, turut diadakan program PASAREKA bermula dari 1 hingga 5 November 2023 dengan pengisian aktiviti seperti Pameran Korporat, Jualan Produk Pelajar, Demonstrasi Kraf dan Pameran Alumni IKN. PASAREKA menghimpunkan pereka, penggiat industri seni dan pelajar berkongsi idea dalam pembangunan produk kraf baharu serta memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai produk kraf tempatan.

Usaha-usaha ini menunjukkan kerajaan Perpaduan dan MOTAC terus mendukung bidang pendidikan dan keusahawanan kraf tangan bagi membuka peluang pekerjaan serta membantu usahawan kraf meningkatkan pendapatan.

Turut hadir ke Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara ke-21 ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia `Ainu Sham binti Haji Ramli, serta Pengarah Kanan Institut Kraf Negara Shamsul Azizi bin Samsudin. – REFLEKS!

Baca ini > MOTAC hargai sumbangan Komuniti Kraf tempatan