Tuesday, February 27, 2024

Me’nate Steak Hub anjur kempen “Dine And Donate For Palestine”

KEKEJAMAN Israel terhadap bumi Palestin terus mendapat pehatian dunia. Hampir sebulan ‘bermandikan darah’ sehingga kini ribuan penduduk Palestin bukan sahaja kehilangan tempat tinggal malah ada yang turut kehilangan keluarga akibat peperangan tersebut.

Melihat mangsa-mangsa kini berada dalam keadaan trauma, rakyat membuat pelbagai usaha menerusi semangat solidarity masing-masing.

Turut tidak terkecuali menyahut semangat yang sama restoran Me’nate Steak Hub yang kini berusaha mengumpul dana untuk disalurkan kepada penduduk di Gaza dengan menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) dan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Menurut Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn. Bhd. Syed Ashraf Syed Ali yang juga pemilik Me’nate Steak Hub, pihaknya menyasarkanb sumbangan sebanyak RM300,000 kepada Palestin.

Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn. Bhd. Syed Ashraf Syed Ali

“Kami namakan kempen ini sebagai “Dine And Donate For Palestine”, dan ia akan bermula pada 6 November 2023 ini dan berakhir pada 20 November 2023. Kempen ini akan melibatkan semua pelanggan di semua 13 cawangan restoran kami, di mana Me’nate akan menyumbang 10% daripada hasil jualan sepanjang kempen 15 hari ini kepada Palestin” kata Ashraf.

Menyentuh tempoh kempen yang dianggap singkat oleh sesetengah pihak, blas Ashraf ketika ini misi mereka cukup jelas dalam memberikan bantuan sepantas yang mungkin kepada mangsa peperangan di sana.

“Ini merupakan kali pertama kempen seumpama ini diadakan, fokus kami cukup jelas untuk memberikan bantuan secepat mungkin kepada rakyat Palestin yang kini terjejas teruk. Bukan sahaja dari segi bantuan makanan tetapi juga perubatan. Dengan sasaran yang saya nyatakan tadi, harapan kami hanya satu, untuk memastikan mangsa-mangsa peperang di sana diberikan keperluan secukupnya dalam mengharungi tempoh-tempoh yang cukup sukar ketika ini,” jelasnya lagi.

Beliau juga turut bersyukur apabila melihat semangat rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan kepada Palestin, tambahnya sebagai jenama restoran tempatan yang mempunyai kelebihan untuk menganjurkan kempen sumbangan dana untuk Palestin, pihaknya turut berharap mendapat sokongan daripada pelanggan Me’nate Steak Hub dalam menjayakan usaha murni ini.

“Pastinya saya dahulukan ucapan terima kasih kepada pelanggan-pelanggan kami yang akan menjadi tulang belakang kepada kempen ini. Bagi saya usaha ini bukan datang dari satu pihak sahaja, pastinya kerjasama Bersama SEJAGAT dan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima juga menyumbang kepada tujuan kempen ini. Semoga dengan usaha ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin,” ujar Ashraf lagi dengan penuh semangat.

Sementara itu jalinan kerjasama dengan SEJAGAT dan dan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima diharapkan dapat memberikan impak yang lebih tinggi terhadap kempen ini dan seterusnya memudahkan misi menghantar bantuan ke Palestin melalui saluran yang tepat.

Ini kerana SEJAGAT dan dan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima dilihat mempunyai pengalaman yang luas dan hubungan yang baik dengan Palestin dalam memastikan dana ini kelak dapat membantu rakyat Palestin yang kini sangat-sangat memerlukan bantuan.

Jelas Ashraf lagi, ini merupakan pengalaman baharu bagi Me’nate Steak Hub dalam mengadakan kempen bantuan kemanusiaan luar negara dan pastinya bukan yang terakhir kerana selama ini sememangnya Me’nate aktif dan komited dalam menjalankan program-program tanggungjawab sosial korporat di peringkat tempatan.

Turut sama hadir dalam majlis pelancaran kempen tersebutan adalah Presiden Pertubuhan Rakyat Sejagat Ustaz Syed Sheikh Al-Attas, wakil tertinggi Tabung Kemanusian Palestine Media Prima Zulkifle Ali dan wakil tertinggi Palestinian Cultural Oragnization Malaysia Muaz Omar. – REFLEKS!

Baca ini > TV AlHijrah bersolidariti bersama Palestin #PalestinKembali