Saturday, April 13, 2024

Sudah musim tengkujuh: Hati-hati banjir, banjir kilat, memandu dalam hujan

SEKITAR Lembah Klang sekarang mengalami hujan lebat seperti diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) termasuk beberapa kawasan lain dengan amaran rebut petir dan angin kencang.

Musim tengkujuh sudah melanda sedikit demi sedikit dengan Perlis mengalami banjir.

Bagi penduduk di sekitar Lembah Klang, kena juga bersiap sedia untuk berhadap dengan banjir kilat.

Memandu dalam keadaan hujan, mesti berhati-hati terutamanya penunggang motosikal yang mungkin cilok sana sini untuk tiba cepat ke destinasi.

Hari ini, MetMalaysia meramalkan hujan lebat juga melanda Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Di Cheras, juga hujan dan keadaan mendung pada pukul 5 petang seolah-olah hari sudah pukul 7 malam.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih. – REFLEKS