Wednesday, April 17, 2024

USANITA lancar program “Bridge to Brilliance” permudah kerjasama usahawan Malaysia dan Indonesia

USANITA Sdn Bhd hari ini mengumumkan pelancaran program “Bridge to Brilliance – USANITA ft Jakarta,” yang bakal menjadi platform terbaik untuk memupuk kerjasama antara usahawan Malaysia dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan, berkata program yang dijadualkan pada Januari tahun depan itu bakal memberikan peluang kepada ahli USANITA dan usahawan Malaysia untuk belajar dan berkolaborasi dengan rakan sejawat mereka dari Indonesia, yang terkenal dengan kerjasama rapat dan ukhwah sesama mereka.

“Usahawan Malaysia perlu aktif meneroka pasaran di Indonesia manakala usahawan dari negara seberang juga harus melakukan perkara yang sama. Dengan jumlah penduduk melebihi 300 juta di kedua-dua negara, perkongsian ini menyediakan platform yang amat besar untuk meneroka pasaran di peringkat ASEAN dan global,” katanya.

Melalui kerjasama tersebut, USANITA berupaya membangunkan ekosistem perniagaan dan pasaran yang luas di Indonesia dan Malaysia. Ia boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara, termasuk kerjasama melibatkan produk dan perkhidmatan yang disokong oleh inisiatif kukuh kedua-dua kerajaan.

“USANITA sentiasa menyokong aspirasi kerajaan dan ingin memainkan peranan sebagai jambatan untuk usahawan. Jakarta merupakan langkah pertama kami sebelum meneroka kerjasama di Thailand dan Filipina tidak lama lagi,” kata Adzliana yang turut berkongsi kerterujaan usahawan Filipina terhadap inisiatif USANITA semasa lawatan mereka ke Malaysia baru-baru ini.

Tumpuan kita pada masa ini adalah Indonesia dan saya yakin inisiatif ini akan memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara melalui peningkatan hasil jualan produk menerusi usaha sama usahawan terbabit,” katanya.

Kerjasama yang bakal dimeterai juga dijangka menarik pelaburan dalam sektor- sektor tertentu seperti industri kecantikan dan makanan, di mana usahawan Indonesia mempunyai kepakaran dan telah menempa kejayaan besar.

“Walaupun kerjasama serupa telah diadakan sebelum ini, USANITA mampu melakukan pembaharuan dengan memanfaatkan rangkaian dan platform perniagaan yang telah dibina. Menerusi rangkaian luas dan platform perniagaan yang kukuh, inisiatif USANITA ini pasti akan memberikan impak yang signifikan,” jelasnya.

Inisiatif strategik ini juga selari dengan matlamat ekonomi Malaysia yang lebih besar di mana kolaborasi yang terjalin bukan sahaja memanfaatkan usahawan yang terlibat tetapi akan turut menghasilkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pempelbagaian ekonomi.

Bagi memudahkan kerjasama tersebut, USANITA bakal menganjurkan bengkel dan majlis pertemuan antara usahawan kedua-dua negara.

Ia akan menjadi platform untuk mereka bertukar pendapat, meneroka kerjasama dan membina asas untuk perkongsian perniagaan yang berpanjangan.

Menerusi program ini, USANITA akan turut berkongsi kisah kejayaan dan menerangkan bagaimana kerjasama antara usahawan mampu meningkatkan perniagaan di negara dan rantau lain.

Naratif kejayaan ini diharapakan menjadi inspirasi dan mendorong lebih ramai usahawan untuk aktif terlibat dalam kerjasama rentas sempadan.

“Inisiatif berani yang kita mulakan di Jakarta ini adalah selari dengan komitmen USANITA untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama inovatif,” tegas Datuk Adzliana. – REFLEKS!

Baca ini> Usanita dan PERKEP bergabung dalam usaha meningkatkan martabat wanita Malaysia