Monday, March 4, 2024

Hujan oh Hujan: 5 taman eko rimba Selangor ditutup mulai 1 November

TIDAK perlu mandi sungai di musim tengkujuh sekarang kerana bimbang berlakunya kepala air yang meragut nyawa.

Oleh itu, untuk bercuti hujung minggu ini yang panjang kerana sambutan Deepavali, sama ada anda merancang percutian ke pantai Barat atau pun bersantai di rumah sahaja.

Untuk makluman semua, mulai 1 November ini sehingga 31 Januari tahun depan, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengambil keputusan untuk menutup sementara lima destinasi kegemaran pelancong tempatan.

Menurut Jabatan Perhutanan Negeri, lima taman eko rimba akan ditutup kepada pengunjung demi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.

Menjaga nyawa itu lebih penting, justeru penutupan Taman Eko Rimba Sungai Tua, Sungai Tekala, Sungai Sendat, Gunung Nuang dan Komanwel amatlah wajar.

Agensi itu memaklumkan langkah penutupan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga kerana jika tidak ditutup ia mendatangkan risiko kemalangan kepada pengunjung.

Sebelum ini, jabatan itu memaklumkan semua laluan pendakian dan aktiviti rekreasi dalam hutan simpan kekal negeri ini ditutup kepada pengunjung berikutan musim tengkujuh.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan bulan depan (November) yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu menyebabkan risiko tinggi berlakunya hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar. – REFLEKS