Tuesday, February 27, 2024

Sesal seumur hidup: Kakak baling adik lelaki dengan pisau, adik meninggal dunia

MALANG tidak berbau. Tragedi yang menyayat hati menimpa sebuah keluarga di Johor apabila seorang remaja perempuan berusia 18 tahun membaling adiknya yang berusia 16 tahun dengan pisau ekoran amarah yang ada dalam diri pelajar tingkatan enam itu.

Kejadian berlaku di rumah keluarga suspek dan mangsa di Ulu Pulai, Ulu Choh dekat Iskandar Puteri semalam dan hari ini, suspek direman enam hari untuk membantu siasatan.

Berita itu dibaca berulang kali dan merasa sedih kerana peristiwa yang terjadi itu, tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan adik beradik.

Kejadian itu dilapor kepada pihak polis dan semalam juga suspek ditahan pada pukul 2.15 petang.

Segala-galanya berpunca daripada perkara yang amat kecil iaitu kedua-dua beradik ini bergaduh kerana berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Susulan pergaduhan itu terbawa-bawa sehingga sampai di rumah dan menurut ibu kedua-dua beradik ini, si kakak dipersenda oleh si adik.

Itu membuatkan si kakak membaling pisau ke arah adik lelakinya dan pisau itu terkena pada bahagian arteri. Si adik disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang hari ini.

Keluarga menguruskan jenazah arwah yang dibuat bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru manakala suspek, si kakak dibawa ke Mahkamah Majestret.

Perintah remah sehingga 25 Oktober ini dikeluarkan oleh Majistret Nurmadiana Mamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan membawa hukuman mandotari.

Salam takziah buat keluarga ini semoga tabah menghadapi dugaan. – REFLEKS