Tuesday, February 27, 2024

Aveta Malaysia lancar Ranger Max Explorer, cub kembara pertama di Malaysia

AVETA Malaysia Sdn Bhd, pengilang, pemasang dan pengeluar motosikal Aveta, telah melancarkan Ranger Max Explorer, cub kembara pertama di Malaysia.

Direka untuk kegunaan di jalan raya dan di laluan lasak, Aveta Ranger Max Explorer yang versatil dengan gaya retro moden yang unik ini menjanjikan keseronokan dan kepuasan kepada pengembaraan penunggang.

Didatangkan dalam dua warna menarik – Sierra Yellow dan Forest Green, Ranger Max Explorer dipasarkan pada harga RM6,988, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Motosikal ini turut disertakan dengan jaminan waranti dua tahun atau 20,000 km, mana-mana yang terdahulu dari tarikh pembelian.

Motosikal yang pertama seumpamanya di Malaysia ini menggunakan enjin cekap bahan api 127cc SOHC empat lejang yang menggunakan sistem penyejuk udara dengan output kuasa maksimum 7.5kW dan tork maksimum 10.5Nm.  Enjin dipadankan dengan transmisi lancar dwi klac (DCT) 4-kelajuan. Kuasa henti jentera ini dibawakan oleh gabungan brek cakera dwi-omboh di hadapan dan brek gelendong di belakang.

Ranger Max Explorer menampilkan rangka T-bone berganda dengan rekabentuk yang dipatenkan khusus untuk model ini bagi menghasilkan rangka yang ringan dan kukuh bagi kestabilan dan pengendalian yang luar biasa. Motosikal ini bukan sahaja sesuai untuk perjalanan santai di atas jalan, malah mampu meredah laluan sukar ke tempat memancing dan tapak perkhemahan yang terpencil.

Ranger Max Explorer direka dengan pelbagai ciri dwi-kegunaan. Ia didatangkan dengan hendal yang tinggi, tempat duduk yang rendah pada ketinggian 760 mm, dengan ground clearance 180 mm serta kedudukan footpeg yang diselaraskan sesuai untuk memberikan keselesaan maksimum semasa menunggang sama ada ketika duduk atau berdiri.

Motosikal bertaraf EEV ini juga dilengkapi dengan tangki minyak yang besar yang memberikan lebih kilometer untuk perjalanan jarak jauh. Tangki 8.5 liter ini adalah yang pertama seumpamanya dalam kategori motosikal cub. Penunggangan juga lebih selesa di laluan yang tidak rata dengan penyerap hentakan yang panjang di hadapan dan jenis gas di belakang.

Gabungan gaya klasik dengan suntikan moden pada Ranger Max Explorer ini jelas terserlah dengan elemen lampu hadapan dan cermin sisi yang bulat, paparan meter digital LED bulat, lampu belakang bersepadu dengan lampu penunjuk yang unik, rim berbilang jejari dan kerangka lasak yang separa terdedah dengan kemasan salutan hitam matte menonjolkan penampilan berani dan tak lapuk dek zaman yang ternyata memberikan kelainan.

Menurut Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan, Aveta Malaysia, Ranger Max Explorer diperkenalkan untuk memenuhi permintaan di pasaran ekoran kejayaan besar moped Ranger 110 yang terjual lebih 10,000unit sejak pelancarannya pada 2021.

“Walaupun tanpa pemasaran atau promosi yang meluas, kami gembira kerana tidak menyangka Ranger 110 mempunyai begitu ramai peminat di kalangan penunggang motosikal yang mengubah suai moped mereka mengikut keperluan masing-masing.

Kami percaya bahawa Ranger Max Explorer baharu ini, dengan enjinnya yang lebih berkuasa dan ciri-cirinya yang lebih hebat, adalah motosikal yang lebih sesuai untuk aktiviti luar yang semakin popular di Malaysia selepas pandemik. Sasaran kami untuk jenama ini adalah untuk melangkaui kedudukan sebagai jenama yang hanya membekalkan motosikal untuk kegunaan harian.  Kami ingin menjadikan Aveta sebagai jenama yang sinonim dengan motosikal gaya hidup tersendiri dengan harga berpatutan yang tidak membataskan pengembaraan dan keseronokan pengguna,” kata beliau.

Aveta kini dalam proses mempertingkatkan rangkaian sokongan jualan dan khidmat selepas jualan untuk mengukuhkan keyakinan pengguna terhadap jenama ini.

Syarikat ini juga melancarkan program Aveta Care on Wheels yang terdiri daripada sebuah trak pikap dan tiga buah motosikal untuk melayan pelanggan di Semenanjung Malaysia. Ia juga sedang menjalinkan kerjasama dengan bengkel-bengkel motosikal untuk membuka 30 Aveta Service Corner di seluruh negara menjelang penghujung 2024 untuk memenuhi keperluan bilangan motosikal Aveta yang semakin meningkat. Di samping itu, 10 stokis alat ganti juga akan dilantik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk memastikan alat ganti boleh didapati dengan mudah.

Di acara tersebut, Aveta turut melancarkan kempen “Time to Explore” yang akan berlangsung selama tiga bulan mulai 1 Januari 2024 untuk mendorong pelanggan Ranger Max Explorer keluar meneroka dan berkongsi pengembaraan bersama motosikal mereka dengan hashtag #Aveta, #TimetoExplore dan #RangerMaxExplore. Di penghujung kempen, dua puluh pemenang akan berpeluang menyertai konvoi dan aktiviti perkhemahan dua hari satu malam sebagai ganjaran.

Motosikal cub kembara Aveta Ranger Max Explorer akan berada di semua wakil pengedar sah Aveta mulai 11 Disember 2023. Lima ratus pelanggan pertama akan menerima kemeja-T Ranger Max Explorer yang eksklusif selagi stok masih ada. Untuk maklumat lanjut mengenai motosikal Aveta di Malaysia, sila layari www.aveta.com.my.

Kredit: EnjinDotCom

Baca ini > Honda Gold Wing dapat warna baharu, Graphite Black