Tuesday, February 27, 2024

Lebih 60 perniagaan, jenama & usahawan Malaysia diiktiraf di Bumiputera Business Excellence Awards 2023

BUMIPUTERA Business Excellence Awards (BBEA) 2023 ialah acara khas untuk memberi pengiktirafan kepada usahawan, perniagaan dan tokoh korporat Bumiputera yang cemerlang di Malaysia, yang berlangsung hari ini di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick itu menyaksikan pencapaian lebih 60 usahawan, perniagaan dan tokoh korporat tempatan daripada pelbagai industri, sekali gus menyerlahkan kecemerlangan, inovasi dan pencapaian luar biasa mereka.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir ke majlis ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corporation Malaysia, En. Rizal Nainy dan juga YM Tunku Dato’ Yaacob Khyra.

Dalam majlis tahunan yang gilang-gemilang ini, BBEA 2023 turut menghargai sumbangan usahawan selebriti yang telah menterjemahkan kejayaan mereka daripada industri hiburan kepada dunia perniagaan dengan menggabungkan sambutan dan pengiktirafan. Antara selebriti terkenal tanah air yang menerima pengiktirafan ini ialah Rozita Che Wan.

Selain itu, antara yang menjadi tumpuan pada malam tersebut adalah penganugerahan kepada penyanyi legenda Malaysia di atas jasa dalam industri muzik di dalam dan luar negara.

Antara penerima anugerah tersebut ialah Datuk Ramli Sarip, Datuk Zanial Abidin, dan Datuk Nora Ariffin. Para hadirin BBEA 2023 seterusnya disajikan oleh persembahan menakjubkan dari ketiga-tiga selebriti tersebut dengan dendangan lagu terbaik sepanjang zaman mereka.

Menyedari kepentingan pembangunan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang semakin meningkat, BBEA 2023 mengiktiraf inisiatif CSR yang cemerlang melalui kategori anugerah khusus iaitu ‘Excellence in CSR’. Pemenang 2023 dalam kategori ini ialah Yayasan Bank Rakyat dan KPJ Healthcare, di mana mereka bergerak sebagai organisasi yang telah memberi komitmen yang tinggi pada tahun lalu terhadap kelestarian sosial dan alam sekitar.

Dalam sedutan ucapan dari Pengerusi BBEA, Encik Mahathir Mahzan berkata, “Melalui inisiatif seperti ini, diharapkan akan terus muncul lebih banyak usahawan Bumiputera yang berjaya dan berpotensi untuk membantu membangun dan memulihkan ekonomi negara. Sesungahnya, anugerah ini bakal menjadi pembakar semangat untuk memastikan lebih banyak kejayaan yang luar biasa oleh usahawan dan syarikat-syarikat Bumiputera.”

Majlis itu telah berjaya menghimpunkan hampir 300 orang tetamu, termasuk pelbagai usahawan Bumiputera yang berpotensi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan pemimpin korporat. Kesemua hadirin diraikan kerana menzahirkan semangat berdaya usaha dan mentaliti cemerlang dalam menyumbang secara signifikan kepada kejayaan jenama mereka dan seterusnya membantu penjanaan ekonomi negara.

BBEA 2023 bukan sahaja mengiktiraf kejayaan, tetapi juga menjadi platform penting bagi merai dan memperkasakan kisah perniagaan luar biasa mereka yang terus melakar landskap perniagaan masa depan Malaysia. – REFLEKS!