Tuesday, February 27, 2024

Harungi 750 batu nautika demi Eksesais Maritim Perkasa Barat

KAPAL Maritim (KM) Nusa telah mengharungi sejauh 750 batu nautika secara solo dari Kuala Terengganu ke Pulau Langkawi bagi menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Sempat berada di dalam kelompok 14 buah kapal yang terlibat dalam eksesais berkenaan ketika melalui kawasan perairan Pulau Pinang, KM Nusa turut berjaya menamatkan pelayaran dengan berlabuh di jeti Pulau Langkawi bersama kapal-kapal lain semalam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, semangat dan iltizam yang ditunjukkan pegawai dan anggota KM Nusa adalah sebahagian contoh kesungguhan warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberikan komitmen mereka demi memastikan sesuatu arahan berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau turut berkata, selain bersemangat melaksanakan tugasan yang diamanahkan, warga Maritim Malaysia perlu meningkatkan kepakaran dalam bidang tertentu khususnya ilmu pelayaran dan penguatkuasaan.

Ujar beliau, komunikasi taktikal misalnya perlu ditingkatkan kerana bilangan anggota semakin berkurangan disebabkan ramai warganya telah bersara wajib dalam perkhidmatan.

Oleh itu, tindakan segera perlu diambil dengan memberikan pendedahan ilmu komunikasi berkenaan kepada pelapis muda demi kepentingan operasi di masa hadapan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 di sini hari ini.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Encik Norzam bin Mustapa serta Pengarah Maritim Negeri Kedah Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa.

Pada ucapan yang sama Datuk Hamid berkata Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 turut berjaya mempamerkan keberadaan aset dan kesiagaan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan Selat Melaka.

Sepanjang eksesais ini berlangsung, Datuk Hamid turut memaklumkan tiada sebarang aktiviti penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dikesan berlaku di kawasan berhampiran sempadan negara di Selat Melaka.

Walau bagaimanapun katanya, KM Burau yang dalam eksesais yang sama berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang telah melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia untuk menggajikan pekerja warga asing.

Melibatkan hampir 500 orang peserta, Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 yang bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor telah menjalani tiga fasa latihan iaitu Fasa Pelabuhan pada 26 dan 27 November, Fasa Laut bermula 28 November hingga 1 November 2023 serta Fasa Penutup pada 2 dan 3 Disember 2023 di Pulau Langkawi. – REFLEKS!

Baca ini > OPV1 uji kemampuan dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat