Tuesday, March 5, 2024

WTD & WTC 2025 lonjak pelancongan, pelaburan negara dan warisan Melaka

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) secara kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan acara mega bertaraf antarabangsa iaitu World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025 yang dijadualkan pada 27-29 September 2025.

Malaysia telah terpilih sebagai negara hos bagi penganjuran program sambutan WTD 2025 di peringkat global dengan tema ‘Tourism and Sustainable Transformation’. Pencalonan tersebut telah diluluskan semasa United Nation World Tourism Organization (UNWTO) 25th General Assembly pada 19 Oktober 2023 di Samarkand, Uzbekistan.

Di samping itu, penganjuran program sambutan WTD 2025 dicadang diadakan bersempena dengan penganjuran edisi ketujuh World Tourism Conference (WTC) 2025, iaitu persidangan bertaraf antarabangsa anjuran bersama oleh Malaysia dan UNWTO setiap tiga (3) tahun sekali. Penganjuran dua persidangan ini secara bersekali adalah selaras dengan langkah Kerajaan Madani dalam melaksanakan perbelanjaan secara berhemah dan ianya dijangka  bakal  menjana  keuntungan  yang besar kepada negara.

Kedua-dua program tersebut bakal menghimpunkan lebih 3,000 peserta antarabangsa dan tempatan dari 159 negara anggota dan lebih kurang 500 ahli sektor swasta UNWTO termasuk Menteri-Menteri Pelancongan, Ketua-Ketua Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan dan tokoh-tokoh industri pelancongan global.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, yang mengetuai delegasi ke Samarkand, Uzbekistan, turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Uzbekistan untuk tempoh 10 tahun (2023–2033) bagi terus mempromosi dan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pelancongan.

Sementara itu, King Sing hari ini mempengerusikan Mesyuarat Kick-Off bagi penganjuran WTD dan WTC 2025 bersama dengan Kerajaan Negeri Melaka bagi membincangkan gerak kerja Jawatankuasa Khas yang dilantik.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, merakamkan ucapan terima kasih atas Melaka terpilih sebagai tuan rumah untuk WTD dan WTC 2025.

“Jawatankuasa induk dan jawatankuasa kecil akan mula ditubuhkan pada awal tahun hadapan. Kita sedang bersedia untuk menerima dan menguruskan penganjuran ini dalam persediaan logistik dan prasarana”, ulas beliau bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar.

Melaka sememangnya negeri pelancongan yang telah menarik lebih 5 juta pelancong oleh itu, program WTD dan WTC 2025 ini akan menjadi satu nilai tambah sektor pelancongan yang baik untuk Melaka.

Pemilihan negeri Melaka sebagai tuan rumah bagi penganjuran WTD dan WTC 2025 merupakan tanda pengiktirafan terhadap komitmen dan kepimpinan pihak kerajaan negeri yang sentiasa menerajui pembangunan sektor pelancongan sehingga berjaya meletakkan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di persada dunia.

Melaka merupakan salah sebuah bandar yang bersejarah di Malaysia. Inilah juga yang menjadi faktor utama Melaka berjaya terpilih sebagai bandar bagi penganjuran World Tourism Day 2025 oleh pihak World Tourism Organization.

Mengimbau kembali sejarah pada abad ke-15, Laksamana Cheng Ho telah berkunjung ke Melaka, antara lain untuk menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan antara China-Malaysia dan seluruh Asia Tenggara pada ketika itu.

Ramai pengembara dan masyarakat seluruh dunia telah menjejakkan kaki di Melaka ini dan meninggalkan banyak warisan. Baik dari segi makanan yang beraneka jenis; bangunan-bangunan dan rumah-rumah ibadat bersejarah; warisan-warisan unik serta kepelbagaian agama, budaya ada di Melaka ini.

Persediaan penganjuran ini juga merupakan sebahagian daripada langkah-langkah yang sedang diambil oleh Kerajaan Malaysia ke arah pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam tempoh 2024 hingga 2026, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada lebih 156 acara perniagaan dan persidangan antarabangsa dengan kesan pengganda (multiplier effect) yang tinggi dan dijangka menjana impak ekonomi bernilai RM2.3 bilion. – REFLEKS!

Baca ini > Tesla buka stesen ‘Supercharging’ pertama di Melaka