Tuesday, March 5, 2024

Konsert The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter: Datuk Awie-King of Rock

AWIE penyanyi kumpulan Wings yang bergelar Datuk membuktikan beliau adalah penyanyi rock lelaki terbaik yang tidak mampu digugat oleh mana-mana penyanyi rock Malaysia.

Dalam meniti usia yang melebihi separuh abad, Konsert The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, sudahpun lebih 48 jam berlalu.

Namun sehingga ke saat ini, masih terngiang-ngiang di cuping telinga vokal Awie yang masih mampu menarik nada tinggi dalam menyampaikan lagu-lagu daripada album-album Wings yang lalu.

Ya! Vokal Awie tidak koyak. Awie tida semput sepanjang kurang lebih tiga jam durasi konsert berlangsung yang bermula pada pukul 9.05 minit malam tadi.

Persembahan bermula dengan petikan solo oleh Edrie Hashim yang mana ia lebih ke arah memanaskan pentas.

Pentas yang cantik dengan peletakan lima sofa umpama singgah sana Raja-Raja bukan sekadar props pentas sebaliknya ada cerita dan fungsinya.

Stadium Malawati gemuruh apabila Awie muncul di atas pentas dengan mengenakan tengkolok dan kostum yang membawa imej ‘hulubalang rocker’.

Membuka persembahan dengan enam lagu pertama, suara Awie memang hebat. Beliau masih mampu menarik nada tinggi setinggi-tingginya dan tidak pecah atau sumbang.

Awie memang mempesonakan. Awie ada aura yang sangat kuat disokong dan didokong oleh lain-lain anggota dalam Wings terdiri daripada Black, Eddie, Sham dan Edrie.

Pesona yang ditampilkan oleh Awie di atas pentas walau pun enam lagu pertama yang dinyanyikannya bukanlah lagu-lagu biasa didengar oleh 9,000 penonton yang membanjiri Stadium Malawati namun peminat tegar Wings atau Sayap-Sayap Wings tetap layan Adone Dari Paran, Jumpa Hilang, Lubuk Pusing, Cinta Seusia Kita, Komplikasi Pramayar dan Jerangkap Samar.

Benarlah seperti yang dijelaskan oleh Awie kepada wartawan hiburan yang setia menanti sidang media ringkas usai konsert, persembahan tersebut adalah segmen pertama dalam Konsert The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter.

Dalam segmen pertama itu turut diselitkan perjalanan atau kronologi penubuhan kumpulan Wings.

Ya, dari zaman Awie khususnya, muda belia dengan masing-masing berimej rambut panjang (rockers lah katakan), visual turut memaparkan detik Joe Branco digugurkan daripada Wings pada tahun 2017, Awie kembali kepangkuan Wings pada tahun 1999 selepas meneroka tahun-tahun sebagai penyanyi solo (1993) sehinggalah ke saat kemasukan anggota bongsu mereka, Edrie Hashim.

Berkonsepkan theoretical, visual LED menunjukkan Wings seperti The Vikings yang membelah lautan luas tetapi bersemangat kental.

Tidak perlu berceloteh panjang, Awie meneruskan persembahan di segmen kedua dengan lagu wajib nyanyi, Bernafas Dalam Lumpur, Gemuruh dan Ingatkan Dia.

Dalam segmen kedua ini juga adalah segmen tribute di mana Wings, semasa mula-mula nak popular, menyanyikan lagu-lagu daripada artis berkumpulan Barat seperti Iron Maiden, Kiss dan juga Scorpions.

Awie ‘menukar topinya’ apabila tampil menyanyikan lagu hard rock seperti Holiday/Black Night, Run For Your Life, Nobody’s Fool dan Like Hell.

Lagu-lagu tersebut bukan sekadar theoretical bagi Wings sebaliknya adalah nostalgia silam yang tidak akan dapat diputar kembali kerana itulah lagu-lagu yang didengari oleh kakak-kakak dan abang-abang suatu ketika dahulu.

Walaupun Awie menyanyi terus menerus tetapi beliau juga mengambil short break sekitar pukul 10.05 minit malam.

Dan apabila muncul kembali di atas pentas, sayap-sayap Wings bersorak berterikan apabila Awie muncul dengan selendang-selendangnya.

“Ini dulu selendang mak-mak yang kami pinjam,” kata Awie yang memang pandai berseloroh secara spontan.

Di kala inilah Awie menyampaikan lagu istimewa khusus untuk rakyat Islam Palestin yang sedang dizalimi tentera zionis Israel.

Kata Awie, dalam kita berhibur, kita pandang saudara sesama Islam yang sedang berperang di bumi Palestin.

Awie menyampikan dendangan Allah-Allah Aghisna dan diikuti dengan doa yang dititipkan oleh seorang rocker kental, Datuk Awie, dan diaminkan oleh 9,000 penonton, tiket konsert sold out.

Segmen horay horay yang ditunggu-tunggu oleh peminat apabila Awie menyampaikan lagu yang viral, Nurnilam Sari.

Lain-lain lagu yang diselitkan termasuklah Sekeping Kertas Bermaruah, Dalam Kehadiran Sofea, RNR, Awang Trasher, Rantai, Intan dan lagu penutup tirai, Taman Rashidah Utama.

Siapa kata Wings dah boleh tutup tirai konsert dengan lagu Taman Rashidah Utama? 9,000 penonton tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing.

Rock Zoners kiri dan kanan, tetap berdiri dan tidak berganjak walau seincipun.

Tak kisahlah tiket harga Rahmah atau tak Rahmah kerana tanpa lagu Sejati, bukan Wingslah yang membuat persembahan.

Awie berhati Rahmah dan Wings lajak lagi persembahan dengan tiga lagu terakhir termasuk Sejati.

Biar 5,000 kali Awie menyanyikan lagu Sejati, 50,000 kali lagi pun Awie tetap kena menyanyikan lagu Sejati.

Kalau tiada lagu Sejati, seolah-olah bukan Wings yang mengadakan konsert dan ternyata, apabila tamat sahaja lagu Sejati dipersembahkan, BARULAH WINGS!

Usai konsert, penat atau lelah berlari di atas pentas dari kiri ke tengah, tengah ke kanan, kanan berlari terus kea rah kiri, cramp di bahagian rusuk, kaki kejang, Awie dan Wings tetap melayan wartawan-wartawan hiburan termasuk SUARA MERDEKA yang menyaksikan Konsert The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter yang dibawakan oleh Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment.

Sebuah konsert yang memberikan kepuasan maksima kepada penonton, peminat, sayap-sayap Wings.

40 tahun Wings bertapak dalam industri hiburan tanah air, pelbagai karenah, sepak terajang telah dilalui.

Benarlah kalau bukan Awie yang mengangkat rakan-rakan dalam Wings yang secara simboliknya adalah sebagai ‘Raja’ yang duduk di sofa singgahsana, siapa lagi? Mereka sebagai artis berkumpulan yang terus aktif dan akan terus aktif kerana tidak Nampak lagi, mana-mana artis berkumpulan pelapis, genre rock yang mampu menggantikan Wings!

Tabik dan sekalung tahniah Awie kerana kehebatan vokalnya menyanyikan lagu-lagu Wings yang bernada tinggi, kemudian nada rendah, kembali ke nada tinggi, menutup segala ruang untuk menidakkan AWIE IS THE KING OF ROCK! – REFLEKS