Monday, March 4, 2024

Arif Aiman tandatangani kontrak jangka masa panjang bersama JDT

KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan pelanjutan kontrak pemain muda sensasi, Arif Aiman Hanapi. Perkara itu diumumkan JDT dalam satu hantaran di laman Facebook milik kelab tersebut, hari ini.

Hantaran itu bagaimanapun tidak memaklumkan berapa lama kontrak pemain muda berusia 21 itu dilanjutkan.

Kata JDT, keputusan itu dibuat setelah Arif Aiman berjaya menampilkan dengan kualiti mengagumkan sepanjang musim ini.

“JDT dan Arif Aiman Hanapi telah melanjutkan kontrak selepas musim 2023 yang mengagumkan di mana pemain muda itu menjaringkan 24 gol dan melakukan 19 bantuan jaringan,” kata JDT, hari ini.

Arif Aiman yang memulakan karier bersama Akademi JDT pada 2018, telah melakukan penampilan pertama dengan skuad Harimau Selatan pada Mac 2020.

Dia dinaikkan pangkat daripada JDT IV, JDT III dan JDT II hingga ke skuad senior hanya dalam tempoh kurang dua tahun selain memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai musim 2021 dan 2022.

Selain cemerlang ketika beraksi untuk JDT, Arif Aiman turut membuktikan ketajamannya ketika beraksi mewakili negara dengan enam gol di peringkat senior setakat ini. – REFLEKS!

Foto kredit: FB Johor Southern Tigers

Baca ini > JDT teruskan rentak kemenangan tewaskan TRW