Monday, March 4, 2024

MOTAC @ Bintulu semarakan seni budaya di peringkat akar umbi

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu akan menganjurkan program MOTAC @ Bintulu selama tiga (3) hari bermula 29 – 31 Disember 2023 bertempat di Lapang Lasar Kenyalang (Tapak Lapangan Terbang Lama), Bintulu, Sarawak.

Pemilihan Bintulu sebagai salah satu lokasi penyemarakan seni budaya di peringkat akar umbi ialah atas daya tarikan tersendiri untuk menarik pelancong datang berkunjung. Jumlah ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa ke Sarawak sehingga Oktober tahun ini ialah seramai 3.187 juta.

Keunikan Bintulu juga merupakan salah satu destinasi pelancongan Sarawak bagi mencapai sasaran ketibaan pelancong asing seramai

35.6 juta orang dan pendapatan pelancongan sebanyak RM147.1 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Antara tarikan-tarikan menarik yang boleh dikunjungi di dearah Bintulu ialah Pantai Tanjung Kidurong, Lambir Hills National Park, Monument Council of State, Esplanade Bintulu, Taman Negara Similajau, Taman Tumbina, Pantai Temasya Tanjung Batu dan aktiviti Paragliding.

Keaslian dan kebudayaan penduduk di rumah panjang di Sarawak juga merupakan salah satu tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara. Keaslian reka bentuk serta struktur rumah panjang tradisional yang masih relevan untuk dikekalkan sekaligus menjadi tarikan utama pelancong untuk datang serta tinggal di rumah panjang terutama dalam program inap desa.

Fokus utama program MOTAC @ Bintulu adalah memberi peluang dan ruang kepada masyarakat bagi penjanaan pendapatan melalui bidang perniagaan, penjualan produk kraftangan dan persembahan kesenian. Program ini juga memberi peluang kepada penduduk setempat, pelancong dalam dan luar negara mengenali dan menikmati keindahan serta keunikan Malaysia melalui aktiviti seni, budaya dan warisan, khususnya melibatkan komuniti Bintulu.

Di samping itu, MOTAC @Bintulu juga menyediakan Festival ‘Kraf Borneo Kita’ yang akan berlangsung sehingga 7 Januari nanti melibatkan seramai 75 usahawan kraf tempatan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.

‘Kraf Borneo Kita’ yang berkonsepkan “Ini Budaya Malaysia” akan memaparkan keindahan kesenian dan kebudayaan Malaysia melalui aktiviti seperti pembuatan produk kraf, kesenian dan warisan Malaysia yang dapat dikongsi secara silang budaya di antara negeri- negeri.

Selain itu, pelbagai jualan produk makanan dan minuman melibatkan 100 buah gerai serta persembahan pentas dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan tarian, nyanyian, persembahan buskers dan band tempatan.

Acara kemuncak ialah Majlis Perasmian yang akan disempurnakan oleh YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada 31 Disember 2023 pada jam 8.00 malam. Menariknya program ini ialah acara pengiraan detik Tahun Baru 2024 yang akan diserikan dengan persembahan bunga api dan persembahan rakyat.

Orang ramai dijemput hadir ke program ini bertempat di Lapang Lasar Kenyalang (Tapak Lapangan Terbang Lama), Bintulu, Sarawak pada 29 hingga 31 Disember 2023, bermula jam 10.00 pagi hingga 10.30 malam. – REFLEKS!