Saturday, April 13, 2024

Empat kumpulan bersaing rebut gelaran Juara Pentas Marhaban. Kumpulan manakah bawa pulang RM50,000?

EMPAT kumpulan berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir Pentas Marhaban yang bersiaran secara langsung di studio TV AlHijrah pada Sabtu lalu.

Antara kumpulan yang bakal berentap merebut gelaran juara adalah kumpulan Qalbun Hadi, Al-Maqari’, Al-Muhtadin dan Raudhatul Ashwaq.

Menurut juri tetap, Ustazah Asni Mansor, setiap kumpulan berjaya mempamerkan keunikan dan keaslian Marhaban.

Al Muhtadin merupakan kumpulan ‘wildcard’ yang bertanding pada minggu separuh akhir Pentas Marhaban Tv AlHijrah

Bagaimanapun pada peringkat akhir Sabtu ini, juri mencari kumpulan yang mampu menyampaikan persembahan paling menyentuh hati.

“Jika anda tanya apa yang para juri cari di pusingan akhir nanti, jawapannya hanyalah ketenangan.

“Penyampaian mereka bersangkutan dengan kisah Rasulullah, maka kita cari persembahan yang mampu menjentik dan menyentuh hati.

Persembahan pembukaan oleh Ustaz Husaini yang juga selaku penasihat Pentas Marhaban

“Pesan saya kepada peserta, berlatihlah dengan bijak. Jangan terlalu kuat berlatih hingga hilang suara dan penyampaian tidak terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, penerbit Pentas Marhaban, Nurul Ain Mohamed memaklumkan pihak produksi kini masih memikirkan tugasan yang lebih bersesuaian disebabkan penambahan kumpulan pada peringkat akhir ini.

“Asalnya kita ada pusingan ‘battle’ tetapi memandangkan hanya ada satu kumpulan wanita, pihak produksi akan memikirkan tugasan yang lebih sesuai.

“Mungkin setiap kumpulan harus mempersembahkan dua tugasan.

Kumpulan ‘wildcard’, Qalbun Hadi menyampaikan bacaan rawi dan alunan marhaban pada minggu separuh akhir Pentas Marhaban TV Alhijrah

Katanya lagi, nilai hadiah juga bakal ditambah bagi dua kategori saguhati.

“Hadiah untuk juara ialah RM50,000 manakala tempat kedua pula bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000.

“Pemenang ketiga dan keempat bakal menerima hadiah saguhati bernilai RM5,000 bagi setiap kumpulan,” katanya.

Zulhafis Gambus selaku juri tetap menyampaikan komen kepada kumpulan yang bertanding pada minggu separuh akhir Pentas Marhaban

Program realiti yang disiarkan selama lapan minggu itu turut diadili Ustaz Zulhafis atau lebih dikenali sebagai Along Gambus dan seorang juri jemputan.

Pemarkahan diberikan bedasarkan gaya persembahan, pakaian, lagu, solo dan harmoni.

Duo hos Pentas Marhaban, Tilmiz Fahmi dan Shamsul Ghau-Ghau pada minggu separuh akhir Pentas Marhaban TV AlHijrah

Pentas akhir Pentas Marhaban bakal disiarkan secara langsung di TV AlHijrah, Sabtu ini jam 9 malam.

Program itu dihoskan oleh gandingan pengacara, Tilmiz Fahmi dan Syamsul Ghau Ghau. – REFLEKS!

Baca ini > Kumpulan Raudhatul Ashwaq juara Pentas Marhaban episod 4