Tuesday, February 27, 2024

Amaran hujan berterusan di Pahang, Johor, Sarawak

HUJAN berterusan, pada tahap berjaga-jaga, dijangka berlaku di Rompin, Pahang, bermula hari ini hingga esok, amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan, pada tahap berjaga-jaga, yang diramalkan berlaku sehingga esok, membabitkan Pekan, Pahang dan beberapa kawasan di Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Baru).

Keadaan cuaca yang sama juga dijangka berlaku dari Khamis hingga Jumaat di Sarawak, melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Sarikei) dan Mukah.

Pada masa sama, Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengeluarkan notis kesiapsiagaan bencana, meminta jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah (JPBN dan JPBD) diaktifkan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana yang akan berlaku, terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

JPBN dan JPBD juga perlu memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas, dan Pos Kawalan di Tempat Kejadian mempunyai semua aset operasi yang mencukupi dan baik serta sedia untuk digunakan. – REFLEKS!

Baca ini > Institusi Perbankan Islam teruskan bantuan khas kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir